Naik taraf hospital bukan ole-ole PRK Tanjung Piai

Iklan
Hospital Pontian turut termasuk dalam peruntukan Belanjawan 2020 bagi tujuan pengubahsuaian infrastruktur dan kemudahan perubatan.

PONTIAN - Pengumuman peruntukan sebanyak RM95 juta bagi pengubahsuaian infrastruktur dan kemudahan perubatan termasuk di Hospital Pontian dalam pembentangan Belanjawan 2020, semalam, disifatkan bukan ole-ole sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai.

Ketua Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Bahagian Pontian, Zulkifly Tasrep berkata, inisiatif tersebut dilihat sebagai usaha kerajaan menambah baik Hospital Pontian yang kini dianggarkan berusia 100 tahun dan tidak timbul sama sekali untuk memancing undi.

Iklan
Iklan

"Bukan buat hospital baharu di Parlimen Tanjung Piai tetapi naik taraf kemudahan hospital daerah. Pastinya ia bukan ole-ole PRK Tanjung Piai.

"Tambahan pula, Hospital Pontian adalah hospital daerah yang menampung pesakit dari dua Parlimen di Pontian iaitu Parlimen Pontian dan Tanjung Piai," katanya hari ini.

Iklan

Semalam, Menteri Kewangan, Lim Guan Eng dalam pembentangan Belanjawan 2020 di Dewan Rakyat mengumumkan RM95 juta untuk pengubahsuaian infrastruktur dan kemudahan perubatan seperti di Hospital Pontian.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pemuda Parti Amanah Negara (Amanah) Kawasan Pontian, Noor Saiful Amri Suloh berkata, kelulusan Belanjawan 2020 bagi menaik taraf Hospital Pontian itu akan memberi manfaat kepada penduduk daerah Pontian.

Iklan

Katanya, langkah itu dapat memastikan penduduk di kawasan ini mendapat kemudahan perubatan kesihatan yang baik memandangkan isu hospital merupakan permasalahan paling banyak diutarakan masyarakat setempat di kawasan berkenaan.