Penjaga masjid didakwa cabul kanak-kanak

Iklan
Tertuduh berdepan tiga pertuduhan mencabul seorang kanak-kanak perempuan berusia 8 tahun minggu lalu. Foto: Bernama

IPOH - Seorang penjaga masjid didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tiga pertuduhan mencabul seorang kanak-kanak perempuan berusia 8 tahun minggu lalu.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh yang berusia 38 tahun ketika pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Norashima Khalid.

Iklan
Iklan

Tertuduh merupakan seorang pemegang kad orang kurang upaya (OKU) keupayaan mental yang sedang menerima rawatan di Jabatan Psikiatri, Hospital Manjung.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa telah memeluk dan mencium mulut kanak-kanak perempuan itu di sebuah masjid di Manjung pada jam 11.30 pagi sehingga 12 tengah hari pada 2 Oktober lalu.

Iklan

Bagi pertuduhan kedua dan ketiga pula, tertuduh didakwa menggigit mulut dan meraba kemaluan kanak-kanak itu di tempat dan masa yang sama.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-Kesalahan Jenayah Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 dan boleh dihukum di bawah seksyen sama, yang mana jika sabit kesalahan boleh dipenjara maksimum 20 tahun dan boleh juga disebat, selain diletakkan di bawah pengawasan polis bagi satu tempoh minimum setahun serta maksimum tiga tahun.

Iklan

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Naidatul Athirah Azman manakala Mohd Norhisam tidak diwakili peguam.

Mahkamah kemudiannya mengarahkan tertuduh dibawa ke Hospital Bahagia Ulu Kinta, Tanjung Rambutan, di sini, untuk pemeriksaan lanjut selain menetapkan 8 November untuk sebutan semula kes. - Bernama