Tommy Thomas beri jaminan teliti kes kematian Adib

Iklan

PUTRAJAYA - Jabatan Peguam Negara (AGC) memberi jaminan akan berusaha sedaya-upaya meneliti kes kematian Muhammad Adib Mohd Kassim.

Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas dalam kenyataannya berkata, perkara itu akan dilakukan sebaik sahaja pihaknya menerima kertas siasatan daripada polis.

Iklan
Iklan

"Ini adalah janji jabatan ini," katanya.

Menurutnya, AGC perlu meneliti kertas siasatan, mempertimbangkan syor polis dan mendakwa individu-individu terlibat.

Iklan

"Orang ramai harus diberikan jaminan bahawa Pejabat Pendakwa Raya mengambil serius tanggungjawabnya di bawah undang-undang.

"Jabatan ini akan berusaha sedaya upaya apabila kertas siasatan diserahkan kepada jabatan ini," katanya.

Iklan

Beliau berkata, banyak spekulasi dan maklumat yang salah dibangkitkan berhubung langkah-langkah yang perlu diambil oleh pelbagai agensi kerajaan berikutan keputusan Mahkamah Koroner Jumaat lalu.

"Ketua Polis Negara, Abdul Hamid Bador telah memberikan maklum balas kepada orang ramai bahawa pihak polis akan menyiasat.

"Pihak polis harus diberikan masa dan ruang untuk menjalankan siasatan mereka," katanya.

Jumaat lalu, Koroner, Rofiah Mohamad yang mengetuai inkues Adib memutuskan bahawa kematian Muhammad Adib, 24, adalah disebabkan perbuatan jenayah oleh sekumpulan individu ketika anggota bomba itu bertugas di Kuil Sri Maha Mariamman Seafield November tahun lalu.

ARTIKEL BERKAITAN: Kes Adib: Polis tunggu arahan Peguam Negara