Polis tembak mati tiga penjenayah

Iklan

GOMBAK - Tiga lelaki yang dipercayai terbabit dalam kes samun bersenjata maut dalam kejadian berbalas tembakan dengan polis di kilometer 22, Jalan Rawang menghala Batu Arang dekat sini awal pagi tadi.

Ketua Polis Selangor, Datuk Noor Azam Jamaludin berkata, sepasukan polis Bahagian Siasatan Jenayah Kontinjen Selangor dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak yang membuat rondaan dalam Ops Samun di kawasan perumahan Bandar Country Homes, Rawang kira-kira 5 pagi terserempak dengan sebuah kereta jenis Volkswagen Polo yang dinaiki suspek dalam keadaan mencurigakan.

Iklan
Iklan

"Polis cuba menghampiri kereta itu untuk membuat pemeriksaan namun secara tiba-tiba pemandu kenderaan bertindak memecut laju lalu kami mengejarnya sejauh kira-kira tujuh kilometer.

"Kenderaan tersebut juga menghimpit kereta polis sebelum terbabas menyebabkan ketiga-tiga suspek keluar dari kereta terbabit dan melepaskan beberapa tembakan," katanya pada sidang media di IPD Gombak di sini hari ini.

Iklan

Noor Azam berkata, polis melepaskan enam das tembakan ke arah suspek sebelum kesemua mereka rebah berhampiran kereta.

Katanya, hasil pemeriksaan mendapati ketiga-tiga lelaki itu telah mati akibat terkena tembakan dan polis menemui dua pucuk pistol jenis separa automatik, tiga bilah parang dan tiga helai sarung muka.

Iklan

Siasatan awal juga mendapati ketiga-tiga suspek disyaki terbabit dalam kes samun bertopeng di kawasan Rawang, Batu Arang dan Kundang.

Noor Azam berkata, kesemua suspek yang tidak kenal pasti identitinya itu dipercayai terlibat dalam sebahagian daripada 60 kes pecah rumah dan samun bersenjata yang dilaporkan di sekitar Selangor sejak Mei lalu hingga hari ini.

"Semakan mendapati kereta yang digunakan suspek menggunakan nombor pendaftaran palsu dan dilaporkan dicuri dalam satu kejadian samun pada 5 Ogos lepas," katanya. - Bernama