'Tak sangka anak, cucu rentung kemalangan'

Iklan
Rosely (dua dari kiri) mengusung jenazah anaknya di Hospital Tanjong Karang untuk dibawa ke Tanah Perkuburan Islam Sungai Baru Gunung, Alor Setar Kedah.

TANJONG KARANG -"Saya sempat berpesan supaya berhati-hati memandu dan berhenti jika mengantuk, tapi tak sangka anak dan cucu maut dalam kemalangan," kata Rosely Marzuki, 65.

Rosely merupakan bapa kepada Muhd Ridzo Fadzly, 37, yang rentung bersama anaknya, Ahmad Ariffin, 2, apabila kenderaan dinaiki mereka bersama dua lagi ahli keluarga terbakar selepas merempuh belakang sebuah treler di Kilometer 9.2 Lebuhraya Latar arah Kuala Lumpur di sini malam tadi.

Iklan
Iklan

Kemalangan turut mengakibatkan isteri Muhd Ridzo, Ku Nurul Amirah Ku Fazli, 33, parah manakala seorang lagi anak mereka, Danish, 2, cedera.

Rosely berkata, pesanan terakhir itu diungkapkan ketika Muhd Ridzo bersama isteri dan dua anak mereka bercuti di rumahnya di Sungai Baru Gunung, Alor Setar Kedah.

Iklan

"Sebelum arwah anak bertolak ke rumah mentuanya di Tanah Merah Jitra, Kedah, saya beritahu berhentilah di mana-mana kalau mengantuk.

"Arwah bersama keluarganya singgah dahulu ke rumah mentua dan bertolak kira-kira jam 3 petang semalam dari rumah mentuanya ke rumah mereka di Bandar Tasik Puteri, Rawang," katanya.

Iklan

Bagaimanapun katanya, dia yang sedang lena tidur dikejutkan isteri memaklumkan mengenai kemalangan berkenaan kira-kira jam 2.30 pagi tadi.

"Salah seorang anak saya menghubungi isteri memberitahu anak dan cucu kami rentung dalam kejadian itu.

"Saya dan isteri kemudian bergegas siap dan terus ke Hospital Tanjong Karang bagi menuntut jenazah anak," katanya.

Dua beranak rentung kemalangan