Setiausaha Majlis Keselamatan Rusia bertemu Wan Azizah

Iklan
Dr Wan Azizah menerima kunjungan hormat Setiausaha Majlis Keselamatan Negara Rusia Nikolai Patrushev di pejabatnya, di Putra Perdana, hari ini. - Foto: Bernama

PUTRAJAYA - Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail hari ini menerima kunjungan hormat Setiausaha Majlis Keselamatan Negara Rusia, Nikolai Patrushev, di Perdana Putra, di sini.

Patrushev diiringi timbalannya, Aleksandr Venediktov dan Oleg Khramov, serta Duta Rusia ke Malaysia, Valery Yermolov.

Iklan
Iklan

Turut serta dalam delegasi itu ialah Timbalan Menteri Dalam Negeri Persekutuan Rusia, Igor N. Zubov dan Ketua Angkatan Tentera Persekutuan Rusia Oleg Salyukov.

Antara isu yang dibincangkan pada pertemuan setengah jam itu ialah kerjasama dalam meningkatkan keselamatan keluarga dan kanak-kanak melalui perkongsian maklumat dan keselamatan siber.

Iklan

Kedua-dua pemimpin juga berminat untuk mewujudkan kerjasama budaya antara kedua-dua negara serta meningkatkan kerjasama dalam memperkasakan wanita memandangkan Dr Wan Azizah juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.

Patrushev dan Dr Wan Azizah turut berbincang mengenai mesyuarat keselamatan tahunan antara Majlis Keselamatan Persekutuan Rusia dan Kementerian Pertahanan Malaysia serta berkaitan pertukaran lawatan dan penglibatan antara kedua-dua negara dalam bidnag kerjasama sedia ada dan masa depan.

Iklan

Patrushev kini dalam lawatan kerja dua hari ke Malaysia yang bermula hari ini.

Menurut kenyataan Kedutaan Persekutuan Rusia semalam, semasa lawatan tersebut, Patrushev akan mengambil bahagian dalam Perundingan Rusia-Malaysia mengenai hal-hal keselamatan. - Bernama