Belum ada MPN capai 30 peratus wanita: Haniza

Iklan
Haniza (tiga dari kanan) merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Wanita Cabang Negeri Sembilan.

SEREMBAN - Wanita PKR berharap agenda 30 peratus wanita dilantik dalam barisan kepimpinan Majlis Pimpinan Negeri (MPN) dapat dilaksanakan sebagaimana dalam teras perjuangan parti itu.

Ketua Wanitanya, Haniza Mohamed Talha berkata, setakat ini masih belum ada MPN yang mencapai sasaran itu dan paling tinggi ialah 20 peratus.

Iklan
Iklan

"Saya mahu ingatkan wanita bahawa agenda ini perlu diangkat kerana kita masih belum capai sasaran 30 peratus. Kita sudah nampak perkembangan di sesetengah negeri untuk lantikan wanita sebagai Ahli Majlis dan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK).

"Jadi dalam MPN pun kita harap begitu. Pengerusi negeri ada kuasa untuk lantik ahli tambahan dan saya minta beri peluang kepada wanita kerana kita ada ramai yang berkebolehan," katanya.

Iklan

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Wanita Cabang Negeri Sembilan di Senawang di sini hari ini.

Hadir sama Ketua Wanita PKR Negeri Sembilan, Azlinah Zamli.

Iklan

Mengulas lanjut beliau berkata, jawatan itu bukan terhad kepada ketua wanita semata-mata sebaliknya seperti bendahari, setiausaha, penolong setiausaha, ketua penerangan dan ahli jawatankuasa lain.

Sehubungan itu beliau akan membawa usul berkenaan pada Kongres Wanita PKR pada Disember ini untuk diangkat di peringkat PH.

Pada masa sama beliau juga berharap wanita daripada parti Amanah, Bersatu dan DAP juga turut memperjuangkan perkara sama.

"Kita pun sudah berbincang dengan rakan dari PH supaya mereka turut bawa agenda sama dan jangan terlalu berkompromi. Kita tidak mahu sumbangan 30 peratus itu dari wanita PKR sahaja," katanya.

Beliau juga ingin tegaskan yang penglibatan wanita itu bukan untuk bersaing dengan kaum lelaki sebaliknya untuk melengkapi.