Kerajaan tidak pinggirkan masyarakat Siam

Iklan
Mohd Redzuan (dua dari kiri) mendengar penerangan daripada seorang usahawan ketika meninjau reruai pameran di Konvensyen Usahawan Siam di Hotel Seri Malaysia di sini hari ini.

ALOR SETAR - Kerajaan tidak pernah meminggirkan masyarakat Siam dalam agenda pembangunan negara termasuklah dari sektor keusahawanan.

Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Mohd Redzuan Yusof berkata, kerajaan menyediakan pelbagai peluang dan kemudahan untuk diambil golongan berkenaan.

Iklan
Iklan

Menurutnya, Kementerian Pembangunan Usahawan (MED) bersama Persatuan Siam Malaysia yakin Konvensyen Usahawan Siam yang diadakan membuka peluang kepada usahawan Bumiputera Siam luar bandar untuk menceburi bidang keusahawanan.

"Malah ia dilihat dapat menjadi platform sangat efektif bagi melatih dan mengasah pelbagai kemahiran keusahawanan secara positif dan produktif.

Iklan

"Jadi kita tidak pernah meminggirkan masyarakat Siam sebaliknya nasib golongan berkenaan sentiasa diberi perhatian seperti mana kaum-kaum lain di negara ini," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media Konvensyen Usahawan Siam di Hotel Seri Malaysia, di sini hari ini.

Iklan

Turut hadir Ketua Setiausaha Kementerian, Wan Suraya Wan Mohd Radzi dan Senator Aknan Ehtook.

Mohd Redzuan berkata, menjadi harapan MED dan kerajaan supaya tidak ada mana-mana pihak ketinggalan ataupun dipinggirkan dalam agenda pembangunan negara lebih-lebih lagi dalam sektor keusahawanan.

Tambahnya, pihaknya juga percaya dengan adanya konvokesyen itu akan dapat membuka ruang kepada masyarakat Siam untuk merebut peluang dalam bidang keusahawanan.

"Usaha berkenaan adalah selaras dengan hasrat MED yang ingin melahirkan lebih ramai usahawan baharu yang kompetitif dan boleh menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara secara menyeluruh," katanya.

Menurutnya, sehingga kini, lebih 500 dari 60,000 masyarakat Siam di seluruh Malaysia menceburkan diri dalam bidang industri kecil dan sederhana (IKS) khususnya perkhidmatan.

"Jikalau boleh kita ajak seramai mungkin masyarakat Siam menceburkan diri dalam bidang berkenaan demi meningkatkan taraf hidup mereka," katanya.

Terdahulu, seramai 500 usahawan masyarakat Siam mengambil bahagian dalam konvensyen anjuran MED dengan kerjasama kerajaan negeri dan Persatuan Siam Malaysia.

Turut diadakan aktiviti seperti bengkel keusahawanan, sesi dialog bersama Menteri Pembangunan Usahawan, taklimat pembiayaan kewangan bersama Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (Tekun Nasional) dan reruai pameran usahawan serta agensi berkaitan keusahawanan.