Pelajar diperas ugut, sebar gambar bogel

Iklan
Razmi

KUALA TERENGGANU - Seorang pelajar lelaki berusia 17 tahun menjadi mangsa pemerasan wang selepas berkongsi gambar bogel kepada wanita yang dikenali melalui Instagram.

Pelajar berkenaan berkenalan dengan seorang wanita di Instagram pada Julai lalu sebelum hubungan mereka semakin rapat sehingga mangsa bertindak berani berkongsi gambar-gambar lucahnya di dalam laman sosial berkenaan.

Iklan
Iklan

Menurut sumber, selepas sebulan berinteraksi hanya di alam maya, wanita tersebut mengajak mangsa berjumpa di sebuah kedai makan di Gong Badak, Kuala Nerus pada 31 Julai lalu.

Katanya, kira-kira jam 1.30 pagi, mangsa ke lokasi dijanjikan dan setibanya di situ, dia dikepung enam lelaki yang tidak dikenali sebelum salah seorang daripadanya bertindak mengugut akan menyebarkan gambar-gambar lucah yang dihantar di dalam Instagram sebelum ini.

Iklan

"Salah seorang daripada mereka meminta mangsa membayar RM200 sekiranya hendak menutup malunya sebelum wang tersebut diserahkan kira-kira jam 10 pagi hari sama.

"Bagaimanapun pada Sabtu lalu sekali lagi mangsa dihubungi lelaki tersebut untuk meminta wang sebelum remaja itu menyerahkan lagi RM80," katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini.

Iklan

Sumber berkata, keesokan harinya (Ahad) lelaki itu menghubungi mangsa dan meminta wang RM500 lagi tetapi pada ketika itu mangsa memberitahu yang dia tiada wang sebanyak itu.

"Selain mengugut untuk menyebarkan gambar lucah, lelaki itu juga mengugut akan membunuh mangsa dan disebabkan terlalu takut pada keesokan harinya (Isnin) mangsa bersetuju menyerahkan RM100 lagi," katanya.

Kata sumber, tidak sanggup lagi menjadi mangsa ugutan dan pemerasan lelaki tersebut, mangsa membuat laporan polis untuk tindakan selanjutnya.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Terengganu, Asisten Komisioner Razmi Mohd Gunnos ketika dihubungi mengesahkan ada menerima laporan mengenai kejadian berkenaan.

Menurutnya, seorang lelaki berusia 18 tahun ditangkap kira-kira jam 1.40 pagi, Isnin lalu bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 384 Kanun Keseksaan kerana melakukan pemerasan.