Hanya Agong berhak tentukan kedudukan PM

Iklan
Takiyuddin

KUALA LUMPUR - Pas tegas menyatakan hanya Yang di-Pertuan Agong dan Dewan Rakyat boleh menentukan kedudukan Perdana Menteri,Tun Dr Mahathir Mohamad.

Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan berkata, desakan pihak tertentu supaya Perdana Menteri yang telah dilantik mengikut Perkara 43(2), Perlembagaan Persekutuan menetapkan tarikh peralihan kuasa kepada seseorang Ahli Parlimen lain adalah tidak selaras dengan undang-undang.

Iklan
Iklan

"Perkara 43(2)(a), Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan Yang di-Pertuan Agong hendaklah melantik Perdana Menteri daripada kalangan Ahli Dewan Rakyat. Ini merupakan kuasa prerogatif Yang di-Pertuan Agong yang tidak memerlukan nasihat daripada mana-mana pihak.

"Setelah terlantik sebagai Perdana Menteri, jawatan tersebut hanya terlucut dalam tiga keadaan iaitu Perdana Menteri meletakkan jawatan secara sukarela, Perdana Menteri hilang kelayakan sebagai Ahli Dewan Rakyat dan Perdana Menteri hilang kepercayaan majoriti Ahli Dewan Rakyat," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Iklan

Ahli Parlimen Kota Bharu itu berkata, dalam konteks sekarang, sekiranya Datuk Seri Anwar Ibrahim mendakwa beliau mendapat sokongan Ahli Dewan Rakyat sekurang-kurangnya majoriti mudah ini secara tidak langsung membawa maksud Dr Mahathir hilang kepercayaan majoriti Ahli Dewan Rakyat sebagai Perdana Menteri.

"Sekiranya ini adalah benar, Anwar sepatutnya segera mengadap Yang di-Pertuan Agong bagi menyembah maklum tentang perkara tersebut.

Iklan

"Beliau juga boleh membawa usul undi tidak percaya di Dewan Rakyat berdasarkan Perkara 43(4), Perlembagaan Persekutuan.

"Sekiranya usul undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri diluluskan, maka Perdana Menteri mempunyai dua pilihan, iaitu meletakkan jawatan ataupun menasihatkan Yang di-Pertuan Agong supaya membubarkan Parlimen, yang mana Yang di-Pertuan Agong mempunyai kuasa mutlak untuk mempertimbangkan atau sebaliknya," katanya.

Bagaimanapun, Setiausaha Agung Pas itu menegaskan 18 Ahli Parlimen Pas tidak akan menyokong sekiranya ada usul undi tidak percaya terhadap Dr Mahathir.

Akhir-akhir ini, ahli-ahli PKR dan badan bukan kerajaan (NGO) dilihat lantang menggesa Perdana Menteri untuk berundur dan memberi laluan kepada Anwar seperti konsensus yang telah dicapai Pakatan Harapan (PH) sebelum pilihan raya umum Mei 2018.