Anwar dedah pemilihan Julau

Iklan
Anwar dikerumuni ahli-ahli PKR di Kongres Nasional PKR ke-13 di IDCC. - Foto: SHARIFUDIN ABDUL RAHIM
SHAH ALAM - Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan bahawa beliau terpaksa menerima keputusan pemilihan di cabang Julau walaupun tidak berpuas hati dengan proses pengundian di kawasan itu.

Menurut Anwar, Biro Politik PKR dan Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) menerima keputusan pemilihan di cabang Julau yang terbatal sebelum ini bagi menyelematkan parti dan memastikan perjalanan Kongres Nasional 2018 mengikut ketetapan jadual yang dibuat.

"Sewaktu JPP menghubungi saya pada hari kejadian, saya berpendapat jika pemilihan dibatalkan maka ia perlu dijalankan semula dengan segera.

"Mereka dah putuskan untuk tangguh dan bincang. Dan saya terpaksa campur tangan juga buat pertama kali pada Selasa lalu serta cadangkan supaya pemilihan tak perlu dibuat semula sebab orang dah tahu undiannya. Dan mereka pasti mentafsirkan yang Julau akan jadi penentu,”katanya.

Sebelum ini, keputusan pemilihan di Cabang Julau terpaksa ditangguhkan berikutan terdapat masalah teknikal pada tablet yang digunakan semasa proses pengundian.

Walau bagaimanapun, Pengerusi JPP Datuk Rashid Din dalam satu kenyataan pada Selasa lalu memaklumkan bahawa keputusan cabang itu diterima dan analisis hasil kiraan undi membuktikan semua data selamat serta berjaya dimuat naik ke pelayan sistem.

Mengulas lanjut, Anwar berkata pihaknya turut memohon maaf kepada semua ahli PKR yang merasakan dirinya seolah-olah seperti tidak berprinsip apabila mengiktiraf keputusan di cabang itu walaupun terdapat kecacatan semasa proses pemilihan sebelum ini.

"Dan saya juga salute (tabik) kepada Azmin dan Rafizi kerana menerima baik keputusan itu,”katanya.