Tiga remaja dituduh rogol gadis bawah umur

Iklan
Tiga remaja lelaki dihadapkan ke Mahkamah Majistret Alor Setar atas pertuduhan merogol mangsa bawah umur antara Mac hingga April lalu.

ALOR SETAR - Tiga remaja lelaki dihadapkan ke Mahkamah Majistret Alor Setar semalam atas pertuduhan merogol seorang remaja perempuan berusia 13 tahun antara Mac hingga April lalu.

Ketiga-tiga remaja yang berusia 15 tahun itu bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Majistret Siti Norhidayah Mohd Noor.

Iklan
Iklan

Berdasarkan pertuduhan, remaja pertama didakwa atas empat pertuduhan melakukan seks dengan mangsa di sebuah rumah dan kebun getah di Pendang, pada Mac dan April lalu.

Manakala tertuduh kedua dan ketiga masing-masing satu dan dua pertuduhan sama seperti tertuduh pertama.

Iklan

Ketiga-tiga pelajar tingkatan tiga itu didakwa melakukan perbuatan itu di beberapa lokasi termasuk rumah dan kebun getah, di Pendang antara Mac hingga April lalu.

Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Fatin Dalilah Khalid manakala tertuduh diwakili peguam, M Puveneswaran dan Syed Muhammad Anwar Syed Lokman Hakim.

Iklan

Mahkamah kemudian membenarkan jaminan sebanyak RM6,500 bagi tertuduh pertama manakala tertuduh kedua dan ketiga sebanyak RM5,000 dan RM6,000.

Mahkamah turut memerintahkan tertuduh agar tidak mengganggu mangsa susulan bersekolah di sekolah sama, selain perlu melapor diri di balai polis berdekatan pada setiap bulan.

Kesemua tertuduh hadir ditemani ahli keluarga masing-masing dan membayar jaminan tersebut.

Mahkamah menetapkan tarikh sebutan semula kes pada 16 Oktober depan, bagi serahan laporan perubatan.