Ismail Yaacob, jemaah kedua meninggal dunia

Iklan

MAKKAH - Ismail Yaacob, 67, jemaah haji dari Cherang Ruku, Kelantan meninggal dunia di Hospital King Faisal di sini, petang semalam, akibat kegagalan jantung dan paru-paru yang disebabkan oleh serangan jantung.

Timbalan Ketua Rombongan Haji (Perubatan) Dr Mohammad Faid Abd Rashid berkata Ismail, jemaah haji kedua Malaysia meninggal dunia, dimasukkan ke klinik kecemasan di penginapannya di Maktab 84, bangunan Land Premium di sini bagi mendapatkan rawatan setelah pengsan di biliknya.

Iklan
Iklan

"Klinik kesihatan cuba lakukan resusitasi sebelum dibawa ke Hospital King Faisal dan Allahyarham meninggal dunia pada 6 petang semalam.

"Jenazah Allahyarham disembahyangkan di Masjidil Haram dan selamat dikebumikan di sini pada 5.30 pagi tadi," katanya pada sidang media di Pusat Rawatan Lembaga Tabung Haji (TH) Syisyah di sini hari ini.

Iklan

Pada Jumaat lepas Amil Abdullah, 63, dari Johor Bahru, Johor, adalah jemaah haji pertama Malaysia meninggal dunia di Hospital King Faisal di sini, akibat jangkitan kuman dalam darah yang mengakibatkan kegagalan fungsi badannya.

Tahun ini seramai 30,200 jemaah Malaysia akan melaksanakan ibadah haji dengan 16,680 orang telah tiba di sini dan Madinah, dibantu 640 petugas TH.

Iklan

Dr Mohammad Faid berkata Ismail tiba bersama isterinya pada 11 Julai lepas di Madinah dan 16 Julai lepas di Makkah.

Beliau berkata pihaknya mengucapkan takziah kepada keluarga Ismail dan TH akan melakukan badal haji secara percuma untuk Allahyarham. - Bernama