MPSJ gempur pusat urut operasi tanpa lesen

Iklan
Antara wanita warga asing yang ditahan dalam operasi yang dijalankan.

PUCHONG - [DIKEMASKINI] Berselindung di sebalik nama pusat urut, namun hakikatnya tiada sebarang lesen sah, itu helah premis yang berjaya dikesan dalam operasi yang dijalankan Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) bersama Ibu Pejabat Polis Daerah Serdang di sini.

Timbalan Yang Dipertua MPSJ, Mohd Zulkurnain Che Ali, berkata, operasi dijalankan bagi membanteras premis pusat urut haram yang dikendalikan tanpa lesen bertempat di sekitar Bandar Puteri, Puchong, Selangor.

Iklan
Iklan

"Operasi bermula jam 3.45 petang ini berakhir jam 6 petang dan diketuai Pengarah Jabatan Penguatkuasaan MPSJ, Ismail Salim dengan kekuatan seramai 31 orang terdiri daripada pegawai dan anggota penguat kuasa.

"Daripada pihak PDRM seramai tujuh anggota telah menyertai operasi diketuai Inspektor Mohamad Izwan Mansor," katanya pada satu kenyataan.

Iklan

Beliau berkata, operasi itu dilaksanakan berdasarkan hasil maklumat orang awam di mana tiga premis berjaya dikenalpasti dan diambil tindakan.

MPSJ menyita barangan yang dirampas dalam operasi yang dijalankan.

"Pihak MPSJ terpaksa memecah masuk ke premis berikutan keengganan pemilik membuka pintu premis dan hasil pemeriksaan mendapati ke semua premis yang diserbu tidak mempunyai sebarang dokumen berkaitan dan melakukan kesalahan menjalankan perniagaan tanpa lesen yang sah daripada MPSJ.

Iklan

"Semasa serbuan dilaksanakan ketiga-tiga premis ini dilengkapi dengan kamera litar tertutup (CCTV) dan telah membuat sekatan dinding di dalam premis bagi menjalankan aktiviti perniagaan," katanya.

Menurutnya, pemeriksaan di dalam premis juga mendapati terdapat pekerja wanita warga asing (Vietnam, Thailand dan Indonesia) bekerja sebagai tukang urut.

"Hasil siasatan telah menjumpai beberapa kondom yang belum digunakan dan ini membuktikan selain aktiviti urutan, premis ini juga ada menawarkan perkhidmatan seks kepada pelanggan.

"Bagi kesalahan tersebut pihak MPSJ telah mengenakan tindakan sitaan dan penutupan premis di bawah Undang-Undang Kecil Pusat Kecantikan dan Penjagaan Kesihatan MPSJ 2013 iaitu mengendalikan pusat urut tanpa lesen dari MPSJ di bawah klausa tersebut denda maksimum sebanyak RM1,000 boleh dikenakan terhadap pemilik premis," katanya.

Selain itu, tindakan memecah semua struktur sekatan dinding di dalam premis juga telah dikenakan di bawah Seksyen 79 Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 iaitu membuat sekatan dinding di dalam premis tanpa kebenaran MPSJ dan boleh dikenakan denda maksimum sebanyak RM500.

"Bagi tindakan di bawah klausa PDRM pula seramai 12 orang wanita warga asing dan dua orang penjaga premis telah berjaya ditangkap daripada ketiga-tiga premis yang telah diperiksa.

"Kesemua yang ditahan telah dibawa ke Ibu Pejabat Polis Serdang untuk siasatan selanjutnya," katanya.