Kurikulum hari ini sudah baik, cuma perkemaskan lagi

Iklan
Nasrudin Hassan

KUALA LUMPUR - Pas mencadangkan subjek Pendidikan Islam dan Moral dijadikan syarat wajib lulus bagi semua peperiksaan utama dalam negara.

Ketua Penerangannya, Nasrudin Hassan berkata, Pas juga meminta kerajaan merombak kurikulum sekolah dengan menekankan konsep integrasi ilmu iaitu kesepaduan antara ilmu wahyu dan ilmu akal.

Iklan
Iklan

Menurutnya, hanya ada satu subjek Pendidikan Islam diajar di sekolah namun ia bukanlah setiap hari dan pada masa sama, setiap pelajar akan dinilai praktikaliti amalan fardhu ain seperti berwuduk dan bersolat.

"Kurikulum yang diamalkan pada hari ini sudah baik cuma perlu diperkemaskan. Oleh sebab itu, Pas mencadangkan konsep integrasi ilmu perlu diterapkan bagi membentuk jati diri dan kefahaman pelajar.

Iklan

"Kebanyakan institusi pendidikan seperti di Selangor, Terengganu dan Kelantan telah menyuburkan konsep integrasi seperti pelaksanaan Sekolah Rendah Agama Integrasi, Maktab Rendah Sains Mara Ulul Albab dan Maahad Tahfiz Sains.

"Sambutan dalam kalangan masyarakat sangat menggalakkan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Iklan

Tambah beliau, sambutan menggalakkan itu juga menunjukkan bahawa ibu bapa mahu anak-anak mendapat mendapat ilmu yang seimbang di samping penghayatan terhadap adab dan akhlak.

Dalam pada itu, Nasrudin menegaskan kerajaan perlu memberi tumpuan dalam menangani masalah peningkatan kes jenayah dalam kalangan pelajar sekolah.

"Data menunjukkan sebanyak 1,440 kes jenayah direkodkan pada tahun 2017, meningkat daripada 1,302 kes pada tahun 2016. Kes-kes yang direkodkan adalah jenayah bunuh, rogol, dadah, mencuri, ragut dan pecah rumah.

"Isu ini perlu ditangani bersama dan diberikan perhatian serius agar para pelajar dapat dididik dengan baik dan dijauhi daripada anasir-anasir negatif,” ujarnya.

Baru-baru ini, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mengatakan sekolah kebangsaan di negara ini telah bertukar menjadi sekolah agama.

Menurutnya, kerajaan akan mengkaji semula kurikulum sekolah sedia ada bagi memperkasakan kembali sistem pendidikan di Malaysia.

Jelasnya, kurikulum di sekolah perlu memberi penekanan untuk menguasai mata pelajaran yang boleh menghasilkan graduan berkualiti dan tidak memberi tumpuan semata-mata kepada mata pelajaran agama.