Perunding psikiatri 'gila seks' digantung tugas

Iklan
Gambar hiasan

PETALING JAYA - Sebuah hospital swasta di Kota Damansara di sini menamatkan khidmat perunding psikiatri yang didakwa melakukan gangguan seks terhadap seorang pesakit yang menjadi mangsa rogol baru-baru ini.

Jurucakap hospital itu memaklumkan telah menjalankan siasatan dalaman selepas menerima aduan yang dibuat secara atas talian awal bulan ini.

Iklan
Iklan

Menurutnya, khidmat perunding psikiatri itu digantung sejak 6 Julai lalu untuk proses siasatan.

"Pihak hospital memutuskan untuk menamatkan khidmatnya di hospital ini berkuatkuasa Isnin lalu selepas siasatan dalaman selesai," katanya dalam satu kenyataan.

Iklan

Jurucakap hospital tersebut juga memaklumkan pihak hospital telah menyerahkan kes berkenaan kepada pihak polis dan Majlis Perubatan Malaysia untuk tindakan selanjutnya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohd Zani Che Din mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu.

Iklan

Menurutnya, kes disiasat di bawah 509 Kanun Keseksaan kerana mengaibkan kehormatan mangsa yang memperuntukkan penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit salah.

Terdahulu, kejadian menimpa mangsa rogol itu dikongsi dalam media sosial Facebook.

Perunding psikiatri itu didakwa mengganggu mangsa yang masih trauma itu dengan menghantar gambar kurang sopan selain mengajak mangsa melakukan perbuatan tidak senonoh.