Figuero puji pemain JDT kerana kekal konsisten

Iklan
JDT - Foto BERNAMA

KONSITENSI yang ditunjukkan pemain Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam setiap perlawanan mereka, merupakan faktor utama skuad Harimau Selatan itu mengekalkan keputusan positif, di sepanjang Liga Super, musim ini.

Ketua Jurulatih JDT Luciano Figueroa memuji pemainnya yang menghasilkan keputusan terbaik, dalam 11 perlawanan liga di tempat lawan, daripada 20 perlawanan yang telah diharungi.

Iklan
Iklan

Daripada 11 perlawanan itu, JDT menang tujuh dan membawa pulang satu mata dari setiap perlawanan di Kuantan, Alor Star, Manjung dan Kuala Terengganu.

"Saya amat gembira dengan prestasi pemain, yang mempamerkan permainan cemerlang malam ini, dengan mengalahkan Kuala Lumpur 4-0. Tiada sebarang rahsia atas kejayaan pasukan kami, kerana kami berusaha untuk mengekalkan gaya permainan dalam setiap perlawanan yang kami mainkan,” katanya kepada media selepas perlawanan di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur di sini malam tadi.

Iklan

Dalam pada itu, pengendali sementara Kuala Lumpur, Roslee Md Derus mengakui kekalahan tersebut berpunca daripada kesilapan mudah dilakukan barisan pertahanan skuad warga kota, sambil menambah JDT berada pada kemuncak prestasi mereka.

Beliau bagaimanapun berkata, pasukan berkenaan akan cuba mencipta kejutan ke atas finalis Piala FA, Perak pada aksi terakhir liga di tempat lawan pada 21 Julai ini, dalam usaha untuk kekal beraksi dalam saingan Liga Super musim depan.

Iklan

Kekalahan ke atas JDT itu menyaksikan Kuala Lumpur menghuni tangga tercorot daripada 12 pasukan dengan kutipan 14 mata daripada 21 perlawanan.

"Kami tidak anggap kami sudah tiada harapan (untuk kekal dalam Liga Super musim depan), dan kami cuba meraih kemenangan pada perlawanan terakhir. Berdasarkan perlawanan malam ini, kami cipta banyak peluang, namun tidak dapat menjaringkan gol.

"Kami kena terus berusaha walaupun kami ketinggalan pada perlawanan terakhir nanti, dan saya kena berikan semangat kepada pemain supaya jangan putus asa,” jelas Roslee yang merupakan bekas pemain kebangsaan.- Bernama