Polis buru lelaki cabul budak dalam kedai

Iklan
Polis kini giat memburu lelaki yang mencabul seorang kanak-kanak perempuan di sebuah kedai di Rawang, petang Rabu lalu.

RAWANG - Polis memburu seorang lelaki yang mencabul seorang kanak-kanak perempuan berusia 9 tahun di sebuah kedai di sini petang Rabu lalu.

Perbuatan tidak senonoh lelaki terbabit dirakam kamera litar tertutup (CCTV) kedai sebelum ia tular di media sosial sejak petang semalam.

Iklan
Iklan

Dalam video berdurasi 51 saat itu, mangsa dirakam berada di rak jualan kedai bersama seorang kanak-kanak perempuan dipercayai adiknya.

Ketika mangsa leka melihat barang di rak jualan, suspek mendekatinya dari arah belakang memeluk dan menggesel kemaluannya di bahagian punggung kanak-kanak itu sebelum beredar.

Iklan

Lelaki tidak diketahui identitinya itu kemudian kembali lagi ke rak jualan terbabit dan memeluk mangsa dengan kuat sebelum kedua-dua kanak-kanak itu melarikan diri.

Suspek kemudian berpura-pura melihat barang di rak jualan sebelum beredar dari ruang kedai itu.

Iklan

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Samsor Maarof berkata, kejadian dimaklumkan ibu mangsa pada malam Jumaat lalu sebelum bapa kanak-kanak terbabit membuat laporan polis.

"Bapa mangsa mendakwa suspek memeluk anaknya dari arah belakang dan menggesel kemaluannya ke punggung kanak-kanak itu.

"Suspek kemudian melarikan diri selepas kejadian yang berlaku pada jam 6.19 petang Rabu lalu," katanya.

Beliau berkata, identiti suspek belum dikenal pasti namun usaha mengesannya giat dijalankan.

Kes disiasat di bawah Seksyen 14(a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017.