Exco Negeri Sembilan kutuk perbuatan lucah

Iklan
Nicole

SEREMBAN - Exco Hal Ehwal Wanita, Keluarga dan Kebajikan Negeri Sembilan, Nicole Tan Lee Koon mengutuk perbuatan keji seorang lelaki warga emas yang dipercayai terlibat melakukan kelucahan melampau terhadap seorang kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun sehingga video rakamannya tular di media sosial.

Katanya, tindakan lelaki itu jijik dan tidak bermoral.

Iklan
Iklan

Justeru, Nicole menasihatkan ibu bapa supaya memastikan anak-anak mereka berada dalam keadaan selamat.

"Bagi kanak-kanak yang sudah besar sedikit, terangkan tentang muhrim mereka serta sentuhan yang dibolehkan seperti bersalaman dan bukannya belaian yang menimbulkan rangsangan.

Iklan

"Ajar juga mereka bagaimana bertindak balas apabila berhadapan dengan situasi tersebut. Galakkan mereka memberitahu kita serta-merta jika berlaku sesuatu yang tidak selesa atau luar daripada kebiasaan," katanya dalam satu kenyataan.

Dalam pada itu, Nicole turut menggesa mana-mana individu yang pernah menjadi mangsa perbuatan keji seperti itu tampil membuat laporan.

Iklan

Semalam, polis berjaya menahan seorang lelaki warga emas selepas disyaki terlibat melakukan kelucahan melampau ke atas seorang kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun di dalam kereta miliknya pada Jun lalu sehingga video rakamannya tular.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri Sembilan, Asisten Komisoner, Wan Rukman Wan Hassan berkata, lelaki berusia 65 tahun itu ditahan jam 9.20 malam Selasa di Lebuhraya Gopeng, Perak.

Katanya, suspek direman selama enam hari bermula semalam untuk disiasat di bawah Seksyen 14(a) dan Seksyen 10 Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.