Exco Perak akan direhatkan jika siasatan polis ambil masa: Ahmad Faizal

Iklan
Ahmad Faizal di Parlimen, hari ini. - Foto: SHARIFUDIN ABDUL RAHIM

KUALA LUMPUR – Exco DAP Perak, Paul Yong Choo Kiong yang disiasat atas tuduhan merogol pembantu rumah warga Indonesia mungkin akan direhatkan daripada tugas pentadbiran sekiranya siasatan polis mengambil masa yang lama.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, buat masa ini beliau akan berbincang dengan Exco berkenaan dan mendengar nasihat kepimpinan parti sebelum mengambil sebarang keputusan.

Iklan
Iklan

"Sekarang ini cuma ada satu siasatan, bukan ada pendakwaan jenayah lagi, maka saya fikir boleh berjalan seperti biasa.

"Namun, saya fikir jika siasatan ini berlanjutan dalam satu jangka masa yang panjang, mungkin boleh dinasihatkan untuk beliau mengambil cuti,” katanya ketika ditemui media di lobi Parlimen, hari ini.

Iklan

Beliau yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Perak berkata, tugasan ADUN Tronoh itu mungkin akan dihadkan nanti dengan tujuan untuk tidak mahu menganggu proses siasatan.

"Had tugas, saya setuju, kita tak nak dia ganggu proses siasatan itu.

Iklan

"Sebagai seorang yang ada kuasa dalam membuat keputusan dalam mesyuarat tertentu seperti mesyuarat Exco, mesyuarat lembaga perumahan, mungkin itu kita tangguhkan dulu, Choo Kiong tak perlu hadiri,” ujar Ahmad Faizal.

Berhubung penangguhan Istiadat Pelantikan dan Mengangkat Sumpah Jawatan Exco Perak yang dijadual hari ini, Ahmad Faizal mengesahkan ia kerana siasatan polis itu.

"Angkat sumpah ditangguh kerana ada siasatan ke atas Exco saya, maka tak sesuai jika diteruskan kerana beliau juga sepatutnya turut sama mengangkat sumpah.

"Mesyuarat Exco (semalam) pula kita tangguh kerana saya perlu berada di Kuala Lumpur, ada mesyuarat Lembaga Pengampunan bersama Sultan Perak,” katanya.

Semalam, Choo Kiong, 49, Exco bagi Perumahan, Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam, Hal Ehwal Bukan Islam dan Kampung Baru merangkap Bendahari DAP Perak dalam satu kenyataan menafikan dakwaan dirinya merogol pembantu rumah serta menyifatkannya sebagai tuduhan palsu dan tidak berasas.

Selasa lalu, media melaporkan seorang pembantu rumah warga Indonesia berusia 23 tahun membuat laporan polis Isnin lalu, mendakwa dicabul majikannya yang juga Exco Kerajaan Perak sehari sebelum itu di sebuah kediaman di Meru, Jelapang, Perak.

Ketua Polis Perak, Datuk Razarudin Husain dilaporkan berkata, pembantu rumah warga Indonesia itu kini ditempatkan di lokasi selamat sehinggalah kertas siasatan mengenainya dirujuk ke Ibu Pejabat Polis Bukit Aman dan Timbalan Pendakwa Raya.