Ibu tunggal tak mengaku abai tiga anak

Iklan
Tertuduh dibawa keluar dari Mahkamah Majistret Kuala Berang selepas menghadapi tiga pertuduhan pengabaian anak.

HULU TERENGGANU - Seorang ibu tunggal mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Kuala Berang di sini hari ini atas tiga pertuduhan mengabaikan tiga anak kandungnya pada minggu lepas.

Tertuduh, Siti Minah Muhammad, 32, memohon dibicarakan ketika pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret, Engku Nurul Ain Engku Muda.

Iklan
Iklan

Mengikut pertuduhan, dia dipercayai membiarkan anaknya yang berusia 12, 8 dan 6 tahun tinggal tanpa pengawasan dan pemeliharaan yang berpatutan.

Tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu pada 3 Julai lalu kira-kira jam 10 pagi di Perumahan Awam Kos Rendah (PAKR) Padang Setengge, Kuala Berang.

Iklan

Pendakwaan dilakukan mengikut Seksyen 33 (1) (A) Akta Kanak-kanak 2001 dan jika disabitkan kesalahan boleh dikenakan denda maksimum RM20,000 atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya.

Selain itu, tertuduh boleh dikenakan bon kelakuan baik dan perintah khidmat masyarakat antara 35 jam sehingga 240 jam.

Iklan

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa, Asisten Superintendan Tuan Rosnah Tuan Husain.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM3,000 bagi setiap pertuduhan dan menetapkan 25 Julai depan bagi sebutan semula kes.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan, seorang kanak-kanak lelaki berusia 12 tahun bersama dua adik perempuannya berumur 8 serta 6 tahun diselamatkan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) pada 3 Julai lalu setelah dipercayai menjadi mangsa pengabaian ibu kandung sendiri.

Tiga beradik itu dipercayai ditinggalkan bersendirian tanpa makanan dan sebarang pengawasan lebih tiga hari.

Susulan itu, ibu kepada tiga kanak-kanak tersebut ditahan selepas tampil memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah Hulu Terengganu pada Ahad lepas.