Warga emas ditahan lakukan kelucahan melampau

Iklan
Wan Rukman (dua dari kiri) menunjukkan tiga telefon bimbit, dua daripada milik suspek dan sebuah lagi mangsa dirampas untuk tujuan siasatan.

SEREMBAN - Polis menahan seorang lelaki warga emas selepas dipercayai melakukan kelucahan melampau ke atas seorang budak perempuan berusia 12 tahun di dalam kereta miliknya pada Jun lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri Sembilan, Asisten Komisoner Wan Rukman Wan Hassan berkata, lelaki berusia 65 tahun itu ditahan jam 9.20 malam kelmarin di Lebuhraya Gopeng, Perak ketika dalam perjalanan menghantar barang menggunakan lori.

Iklan
Iklan

Menurutnya, penahanan suspek yang bekerja sebagai pemandu lori jentera berat itu susulan laporan polis dibuat ibu mangsa berusia 49 tahun pada jam 3 petang hari yang sama selepas video perbuatannya tular.

"Berdasarkan siasatan awal, keluarga mangsa mengenali suspek beberapa bulan lalu kerana mereka tinggal di kawasan perumahan berdekatan. Suspek telah berkahwin, mempunyai seorang isteri dan dua anak lelaki.

Iklan

"Suspek mengambil kesempatan dengan memperdaya mangsa dan mengajaknya keluar untuk membeli barang kegemarannya seperti alat tulis dan makanan semasa ketiadaan ahli keluarga mangsa di rumah," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Negeri Sembilan hari ini.

Wan Rukman berkata, perkara ini berlaku sebanyak tiga kali tanpa pengetahuan keluarganya sekitar bulan Jun lalu.

Iklan

"Bagi kejadian terakhir, mangsa diambil di rumah sebelum dibawa ke kawasan parkir di Bandar Seremban lalu melakukan perbuatan kelucahan melampau ke atas mangsa di dalam kereta milik suspek.

"Penahanan suspek itu susulan laporan polis dibuat ibu mangsa berusia 49 tahun pada hari sama jam 3 petang ekoran video tular menunjukkan anaknya dipaksa melakukan kelucahan melampau oleh suspek di dalam kereta," katanya.

Wan Rukman berkata, selain penahan suspek, polis turut merampas sebuah kereta jenis Proton Waja dan dua telefon bimbit miliknya dipercayai mengandungi video tersebut.

Wan Rukman (kanan) menunjukkan kenderaan suspek yang dirampas.

"Suspek telah direman di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah selama enam hari bermula hari ini sehingga 15 Julai. Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 14(a) dan Seksyen 10 Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak- Kanak 2017.

"Polis juga menerima sebanyak 17 laporan polis dibuat oleh orang awam di beberapa buah negeri susulan penularan video tersebut kerana tidak berpuas hati dengan perbuatan suspek.

"Memandangkan suspek telah di tahan, orang awam dinasihatkan tidak mengganggu sama ada keluarga mangsa atau suspek sebaliknya menyerahkan kepada polis untuk menjalankan siasatan lanjut," katanya.