Pedofilia: Warga Kanada dijatuhkan hukuman penjara 16 tahun

Iklan

KATHMANDU - Sebuah mahkamah tempatan di Nepal telah menjatuhi hukuman penjara 16 tahun ke atas pekerja kemanusiaan rakyat Kanada, Peter Dalglish kerana melakukan penderaan seksual terhadap dua kanak-kanak lelaki di negara Himalaya itu, lapor agensi berita China Xinhua.

Hakim Arjun Adhikari, yang membuat keputusan itu pada Isnin, turut memerintahkan Dalglish membayar 500,000 rupee Nepal (AS$4,556) kepada setiap mangsa.

Iklan
Iklan

Sebulan yang lalu, mahkamah sama memutuskan bahawa rakyat Kanada itu bersalah dan menetapkan Isnin untuk jatuh hukum.

Semasa perbicaraan, pihak pendakwaan mengemukakan kenyataan mangsa, laporan perubatan dan gambar mereka.

Iklan

Pendakwaan memohon mahkamah mengenakan hukuman maksimum penjara 13 tahun ke atas Dalglish dan memerintahkan tertuduh membayar ganti rugi kepada mangsa.

Pada April 2018, Biro Penyiasatan Pusat Polis Nepal telah menahan Dalglish kerana terlibat dalam kes melakukan penderaan seksual terhadap dua kanak-kanak lelaki dari daerah Kavre, yang terletak kira-kira 50 kilometer di utara Kathmandu.

Iklan

Ketika mengemukakan fakta kes, polis Nepal berkata Dalglish yang berusia 62 tahun telah menggoda kanak-kanak terbabit dengan menawarkan perjalanan ke luar negara dan pendidikan terbaik sebelum melakukan penderaan seksual terhadap mereka.

Polis telah menyelamatkan kedua-dua mangsa yang berusia 12 dan 14 tahun itu.

Sebelum ditahan, Dalglish didapati mengendali sebuah badan bukan kerajaan yang dinamakan Yayasan Komuniti Himalaya. - Bernama