Rizab sungai jadi 'port' tanam pokok ketum

Iklan
Dua lelaki tempatan ditahan dalam serbuan di sebuah rizab sungai di Kampung Behrang Ulu, petang tadi

TANJUNG MALIM - Polis Daerah Muallim berjaya membongkar kegiatan dua lelaki yang menjadikan kawasan rizab sungai di Kampung Behrang Ulu sebagai lokasi tanaman pokok ketum dalam satu serbuan di sini hari ini.

Serbuan dilakukan sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik daerah sekitar jam 2.30 petang itu mengesan lebih 200 pokok ketum dipercayai ditanam sendiri oleh suspek di kawasan itu.

Iklan
Iklan

Ketua Polis Daerah Muallim, Superintendan Wan Kamarul Azran Wan Yusof berkata, kedua-dua lelaki tempatan berusia 32 dan 34 tahun itu juga memproses sendiri daun ketum untuk dijadikan air di kawasan berkenaan.

30 botol mengandungi cecair disyaki air ketum dirampas.

"Ketika serbuan mereka sedang leka memasukkan botol-botol minuman ke dalam sebuah tong berwarna jingga.

Iklan

"Di dalam tong berkenaan terdapat 30 botol plastik minuman setiap satu berisi 1.5 liter cecair disyaki air ketum," katanya.

Beliau berkata, pemeriksaan lanjut mendapati seorang daripada suspek positif dadah jenis methamphetamine dan mempunyai tiga rekod lampau membabitkan kes dadah.

Iklan

"Kedua-dua suspek yang tidak bekerja itu ditahan di bawah Seksyen 30(3) Akta Racun 1952," katanya.