Pemimpin Jemaah Islamiyah ditahan

Iklan
Pihak berkuasa Indonesia menunjukkan gambar Para Wijayanto dan beberapa barang yang dirampas dalam serbuan ke atasnya di pinggir Jakarta pada Sabtu lalu. - Foto: AFP

JAKARTA - Polis Indonesia menahan pemimpin rangkaian militan Jemaah Islamiyah (JI) yang dikaitkan dengan al-Qaeda selepas disyaki merekrut anggota yang kemudiannya dihantar ke Syria untuk mendapat latihan dengan ekstremis, menurut pihak berkuasa hari ini.

Polis antikeganasan turut memberkas empat suspek lain yang ada kaitan dengan Para Wijayanto yang dipercayai sebagai penuntut ulama Abu Bakar Basyir yang berdepan tuduhan mendalangi serangan pengeboman di Bali yang meragut lebih 200 nyawa pada 2002.

Iklan
Iklan

Wijayanto yang bersembunyi sejak 2003 dan pernah mengikuti latihan bersama militan di Filipina ditangkap bersama isterinya di pinggir Jakarta pada Sabtu lalu.

"JI kekal sebagai ancaman kerana strategi utama mereka adalah untuk menubuhkan kerajaan khalifah," kata jurucakap polis nasional, Dedi Prasetyo.

Iklan

Sejak penahanan Abu Bakar, pasukan keselamatan Indonesia dilaporkan berjaya memecahkan rangkaian militan walaupun masih ada yang beroperasi secara rahsia.

"Masih terdapat ramai anggota JI. Selepas kejatuhan Osama Laden, mereka tidak lagi bergerak secara aktif. Kekalahan Daesh telah memberikan ruang kepada JI untuk bangkit semula," ujar penganalisis keganasan berpusat di Jakarta, Stanislaus Riyanta.

Iklan

Indonesia kini berdepan tekanan untuk mengetatkan undang-undang antikeganasan di negara itu selepas siri pengeboman bunuh diri menyebabkan lebih 30 maut di Surabaya, Jawa Timur pada tahun lalu.

Ratusan individu berjaya ditahan di bawah undang-undang baharu yang dikuatkuasakan pada awal tahun lalu. - Reuters