Masyarakat desak keadilan untuk Adib

Iklan

TARIKH 17 Disember 2018 menyaksikan negara mengalami kesedihan apabila seorang penjawat awam yang sedang melaksanakan tugasnya sebagai seorang anggota bomba meninggal dunia kerana dipukul dan dicederakan dengan teruk oleh sekumpulan perusuh di Kuil Sri Maha Mariamman di USJ 25, Subang Jaya.

Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim meninggal dunia pada tarikh tersebut setelah berminggu berada dalam keadaan koma. Lebih menyedihkan lagi Adib dijadualkan mendirikan rumah tangga esok (Sabtu, 22 Disember).

Iklan
Iklan

Sehingga kini rakyat marah kerana pembelaan terhadap Adib tidak nampak dilakukan, walaupun menjadi penjawat awam. Lebih menyedihkan lagi pada awal insiden rusuhan ini, pihak berwajib dipersalahkan oleh beberapa ahli eksekutif bertaraf menteri dan exco. Dengan pantas mereka memainkan sentimen agama dan perkauman. Di manakah kebertanggungjawaban pihak kerajaan dengan menyalahkan membuta tuli cabang-cabang perkhidmatan kerajaan tanpa usul periksa.

Jelaslah, kalangan pemimpin sebegini hanya mahukan populariti bukan melaksanakan kebenaran. Adakah pemimpin sebegini layak menjawat jawatan awam mewakili seluruh rakyat Malaysia kerana mereka mempertahankan hak golongan tertentu sahaja.

Iklan

Malah pihak kuil pula pernah mendakwa kenderaan bomba yang melanggar Adib menyebabkan kecederaan teruk tersebut. Dakwaan yang mempunyai motif tertentu ini lebih mencederakan perasaan rakyat, khususnya orang Islam kerana orang Islam yang mahu berkhidmat mempertahankan keamanan dibunuh tanpa timbang rasa.

Hal ini terbukti tidak benar apabila pihak berkuasa menyelesaikan siasatan dan kecederaan tersebut akibat dipukul sekumpulan orang. Dilaporkan beberapa orang telah ditangkap dan kemudiannya dibebaskan atas jaminan. Seharusnya pihak polis dan Peguam Negara segera melengkapkan siasatan dan mendakwa mereka yang bertanggungjawab di bawah tuduhan dalam seksyen 302 Kanun Kesiksaan.

Iklan

Isu ini yang mulanya dibangkitkan atas dasar rasis oleh pihak tertentu kemudian didapati sebaliknya. Ia bukan isu bangsa tetapi isu keengganan pihak kuil melaksanakan perintah persetujuan yang telah dimeterai di mahkamah. Pihak yang mahu menjaga keamanan pula yang terbunuh oleh demontrans yang datang.

Walau apa pun Adib pergi tidak akan kembali. Allahyarham meninggalkan keluarga dan tunangnya dalam keadaan yang sangat berdukacita. Sedangkan pelaku kesalahan masih lagi belum dihukum.

Walaupun pelaku tersebut mungkin akan dituduh atas kesalahan membunuh tetapi ia akan tetap memberi kesan kepada keluarga yang terlibat. Mereka yang sebenarnya akan menanggung kedukacitaan sepanjang hayat.

Jika pun pesalah tersebut dituduh atas kesalahan membunuh di bawah seksyen 302 Kanun Kesiksaan ketika ini membawa hukuman mati mandatori, namun hukuman bagi kesalahan membunuh ini sedang dikaji oleh pihak kerajaan dalam erti kata memansuhkan hukuman bunuh ini. Kes pembunuhan Adib menzahirkan keperluan untuk mengekalkan hukuman bunuh ini, berbeza dengan pandangan kerajaan yang mahu memansuhkannya.

Terfikir saya jika hukuman ini dimansuhkan di manakah keadilan kepada keluarga mangsa seperti keluarga Adib ini? Apakah keluarga mangsa layak berdukacita sahaja? Sehingga akhir hayat mereka pasti tidak akan dapat pengganti Adib. Adakah keluarga mangsa tidak layak menikmati keadilan?

Undang-undang Islam menyediakan pembelaan yang lebih adil bagi kedua belah pihak sama ada pesalah atau pun keluarga mangsa. Undang-undang qisas dalam undang-undang syariah menyediakan hukuman setimpal dengan kesalahan dilakukan. Barulah dikatakan pembalasan itu lebih adil. Namun Islam lebih adil lagi apabila menyediakan sistem diyat yang memberikan pampasan kepada mangsa.

Pampasan ini bukanlah bertujuan mengembalikan mangsa kepada status sebelum kesalahan tersebut. Tetapi sekurang-kurangnya ia dapat mengurangkan kedukacitaan dan memberikan peluang kepada keluarga mangsa untuk meneruskan kehidupan.

Sehingga hari ini kita belum mendengar sebarang pampasan diberikan kepada keluarga Adib bagi mengubati kedukaan mereka. Persoalan timbul apakah nilai penjawat awam yang mengorbankan nyawa dalam melaksanakan tugas mereka?

Kita disuruh reda pada takdir apabila Adib meninggal dunia, tetapi mereka memperjuangkan keadilan bagi kematian orang lain berdasarkan kepentingan politik mereka. Perjuangan menegakkan keadilan secara berpilih ini sangatlah menjijikkan dan mesti diberhentikan serta-merta.

Saya mengajak semua rakyat Malaysia agar mengekalkan keamanan negara, mengelak sensitiviti perkauman dan bertenang menghadapi dugaan ini.

Adib, damailah kamu di sisi-Nya. Berehatlah. Seluruh Umat Islam mendoakan kebahagiaanmu. Anda wira negara.