Siasat punca sebenar tragedi di Gua Musang

Iklan
Mohd Azmi , Shariffa Sabrina

SHAH ALAM - Beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) membidas kegagalan kerajaan memberikan imunisasi kepada orang asli Bateq di Gua Musang sehingga terdedah kepada wabak demam campak yang menyebabkan kematian beramai-ramai sejak sebulan lalu.

Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim), Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, sudah sampai masanya untuk kerajaan memberikan penerangan dan pendidikan kepada semua orang asli di negara ini mengenai kepentingan mendapatkan imunisasi.

Iklan
Iklan

"Bukan sahaja kepada suku Bateq tetapi banyak suku kaum lain di negara ini yang cara hidup mereka juga berpindah-randah,” ujar beliau ketika dihubungi Sinar Harian di sini semalam.

Kata Mohd Azmi, bilangan orang asli Bateq memang tidak ramai di negara ini dan mereka mungkin pupus sekiranya berlaku penularan wabak dalam kalangan mereka.

Iklan

Dalam pada itu, Presiden Pertubuhan Pelindung Khazanah Alam Malaysia (PEKA), Puan Sri Shariffa Sabrina Syed Akil menggesa Kementerian Kesihatan meneruskan siasatan lanjut kerana sukar untuk mempercayai punca kematian 15 orang asli Bateq dalam tempoh sebulan disebabkan wabak campak.

"Kita tahu daya tahan suku Bateq ini sangat kuat kerana mereka hidup secara semula jadi di hutan berbanding kita orang biasa yang lain yang mudah terdedah kepada penyakit.

Iklan

"Ini sangat tidak masuk akal dan kami tetap berharap agar kerajaan terus menyiasat punca utama masalah ini,” tegas beliau.

Katanya, kerajaan harus membela nasib orang asli kerana sejak sekian lama hutan yang didiami mereka telah dimusnahkan oleh aktiviti perlombongan dan pembalakan secara berleluasa.

"Punca air mereka tercemar dan daya tahan terhadap penyakit mereka semakin lemah,” katanya.

Semalam Kementerian Kesihatan memaklumkan wabak demam campak melanda kampung orang asli Bateq Kuala Koh sehingga menyebabkan kematian 15 orang.