Penjual kuih maut dirempuh pemandu mabuk

Iklan
Keadaan kereta yang remuk dalam kejadian di Taman Bertam Indah di sini pagi tadi.

KEPALA BATAS - Seorang peniaga kuih maut manakala suaminya cedera selepas gerai mereka dirempuh sebuah kereta dalam kejadian di Taman Bertam Indah di sini pagi tadi.

Dalam kejadian jam 10 pagi itu, kereta yang dipandu seorang lelaki berusia 31 tahun dari arah Bertam Indah menuju ke Paya Keladi dikatakan hilang kawalan sebelum merempuh gerai terbabit dan mengakibatkan pasangan itu tercampak ke atas jalan raya.

Iklan
Iklan

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, siasatan awal mendapati lelaki berkenaan dipercayai memandu di bawah pengaruh dadah dan alkohol.

"Ujian awal saringan air kencing mendapati pemandu kereta terbabit positif ganja.

Iklan

"Mangsa yang cedera dibawa ke Hospital Kepala Batas untuk mendapatkan rawatan bagaimanapun salah seorang daripada disahkan telah meninggal dunia di wad kecemasan pada jam 12 tengah hari ketika sedang mendapatkan rawatan," katanya ketika dihubungi di sini.

Noorzainy berkata, mangsa yang meninggal dunia dikenali sebagai Roslinda Muhamad Isa, 44 manakala suaminya, Mat Subri Saad, 44 mengalami kecederaan di bahagian kepala dan masih mendapatkan rawatan di hospital.

Iklan

Katanya, pemandu kereta yang bekerja sebagai tukang besi hanya mengalami kecederaan ringan sahaja dan kini ditahan untuk tindakan lanjut

"Siasatan masih diteruskan dan kes terbabit akan disiasat mengikut Seksyen 44 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu dalam keadaan bahaya sehingga menyebabkan kematian.

"Siasatan juga mendapati pemandu tiada lesen memandu dan kereta tiada cukai jalan.

"Ujian darah juga telah diambil untuk pengesahan kandungan alkohol dalam badan lelaki terbabit," katanya.

Orang ramai melihat keadaan gerai dirempuh kereta dalam kejadian di Taman Bertam Indah di sini pagi tadi.