Luluh hati lihat mayat adik ipar dalam semak

Iklan
Tayar depan motosikal mangsa patah selepas bertembung dengan Perodua Myvi mengakibatkan kereta itu turut terbabas dan masuk ke dalam semak di tepi jalan. Gambar kecil:Zakaria Ahmad

KEMAMAN - Luluh hati seorang lelaki apabila melihat mayat adik iparnya tercampak di dalam semak selepas terlibat kemalangan di Jalan Kerteh-Batu Putih berhampiran Tanah Perkuburan Islam Pengkalan Ranggon, Kerteh, di sini, kira-kira jam 7.30 pagi hari ini.

Wan Hakim Mohd Mamat, 54, melihat sekujur jasad warga emas itu, Zakaria Ahmad, 62, yang sudah tidak bernyawa di dalam semak di tepi jalan sejurus bergegas ke lokasi kejadian.

Iklan
Iklan

Wan Hakim berkata, dia mengetahui kejadian menimpa adik iparnya lebih kurang jam 7.45 pagi selepas dihubungi kawannya yang memaklumkan kejadian itu semasa dia sedang minum pagi di sebuah warung.

"Terkejut saya dapat tahu berita itu dan bila saya tiba di lokasi, arwah didapati sudah meninggal dunia.

Iklan

"Memang tak sangka arwah pergi meninggalkan kami sekelip mata sebab saya baharu sahaja berbual dengannya pada petang semalam dan arwah langsung tak tunjuk apa-apa perubahan sikap," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Ketika kejadian Zakaria dari Kampung Batu Putih, di sini, yang juga pemandu lori menunggang motosikal jenis Honda EX5 bersendirian dari arah Batu Putih ke Kerteh.

Iklan

Timbalan Ketua Polis Daerah Kemaman, Deputi Superintendan Mohd Haki Hasbullah yang mengesahkan kemalangan berkenaan berkata, setibanya di lokasi kejadian sebuah Perodua Myvi yang dari arah bertentangan dipercayai memasuki laluan motosikal.

"Lalu kereta terbabit merempuh motosikal ditunggang mangsa dari arah bertentangan menyebabkan penunggang motosikal maut di lokasi kejadian.

"Ekoran itu penumpang kereta terbabit yang juga pelajar tingkatan empat di sebuah sekolah di Dungun, Muhammad Faris Aiman Mohamad, 16, mengalami kecederaan bengkak di muka," katanya.

Namun, abang pelajar terbabit berusia 32 tahun beralamat di Kampung Pengkalan Ranggon yang memandu kereta itu tidak mengalami apa-apa kecederaan.

Katanya, mangsa yang cedera dibawa ke Hospital Dungun untuk rawatan lanjut sementara mangsa maut dibawa ke Hospital Kemaman untuk bedah siasat.