Penuntut kolej dakwa diraba lelaki warga asing

Iklan

SHAH ALAM - Seorang penuntut kolej wanita mendakwa dia diraba lelaki warga asing ketika sedang membeli-belah di Seksyen 25 di sini, Ahad lalu.

Difahamkan, kejadian yang turut disedari ibu mangsa itu berlaku kira-kira jam 1.30 petang.

Iklan
Iklan

Dalam kejadian terbabit, mangsa yang berusia lingkungan 20-an pergi ke kedai berkenaan bersama ibunya untuk membeli barangan kelengkapan rumah sebagai persiapan menjalani latihan praktikal.

Ketika berjalan ke laluan yang menempatkan barangan plastik di dalam kedai tersebut, mangsa mendakwa tiba-tiba seorang lelaki warga asing meraba punggungnya.

Iklan

Lelaki terbabit yang kelihatan panik terus cuba hendak keluar dari premis berkenaan sebelum mangsa meminta bantuan pekerja kedai untuk menahannya.

Mangsa kemudian membuat laporan polis di Balai Polis Taman Sri Muda.

Iklan

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib berkata, suspek seorang lelaki warga Pakistan telah ditahan pada hari kejadian di premis terbabit.

"Suspek kemudian direman selama empat hari bermula Isnin lalu dan kes disiasat mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan.

"Suspek berusia 39 tahun kini ditahan di bawah reman Jabatan Imigresen Malaysia kerana tinggal lebih masa," katanya ketika dihubungi Sinar Harian, semalam.