Politik kotor perlu ditolak

Iklan
Saifuddin Nasution

PETALING JAYA - Parti Keadilan Rakyat (PKR) menolak budaya politik kotor sambil menggesa penyebaran video intim yang dikaitkan dengan seorang pemimpin Pakatan Harapan (PH) dihentikan serta-merta.

Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, gaya dan cara berpolitik seperti itu tidak membawa sebarang keuntungan kepada masyarakat dan negara.

Iklan
Iklan

"PKR tegas dan konsisten menolak sebarang bentuk permainan politik kotor terutamanya apabila kerajaan baharu PH telah dipilih oleh rakyat atas semangat agenda reformasi untuk membantu rakyat dan membangunkan negara.

ARTIKEL BERKAITAN: Pas ingatkan ahlinya tidak sebar video hanyir

Iklan

Setiausaha Sulit Timbalan Menteri buat dakwaan terlibat dalam klip video seks

"PKR menggesa agar penyebaran video yang sedang ditularkan dan diperkatakan oleh umum dihentikan serta-merta,” katanya melalui kenyataan media hari ini.

Iklan

Beliau berkata, PKR sebagai salah satu parti komponen PH akan terus fokus membantu kerajaan merangka dasar-dasar dan program untuk rakyat.

Berkongsi nada sama, Ahli Parlimen Rembau daripada Barisan Nasional, Khairy Jamaluddin Abu Bakar yang turut menggesa rakyat Malaysia ‘mengalihkan pandangan’ daripada berita buruk berkenaan politik negara.

"Politik ialah profesion yang sukar. Ada kala ia kotor. Ada kala ia sangat kotor. Hari ini ia busuk-sebusuknya.

"Jika anda terlihat berita buruk berkenaan politik kita hari ini, alihkan pandangan. Hal seperti ini semakin marak apabila diberi perhatian," katanya menerusi Instagram Story hari ini.

Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki pula menegaskan, sebagai seorang islam, seseorang itu harus kekal berpegang kepada prinsip Islam untuk mengelakkan diri daripada turut menyebarkan video tersebut agar tidak dilaknat ALLAH dan dibuka keaiban di dunia dan di akhirat kelak.

"Lebih membimbangkan jika video tersebut adalah palsu, pastinya dosanya lebih besar dan laknat ALLAH yang lebih berat bakal menimpa kita,” katanya menerusi kenyataan di Facebooknya, hari ini.

Ketua Pemuda Pas, Muhammad Khalil Abdul Hadi pula berkata,"seseorang itu tidak bersalah sehinggalah dibuktikan bersalah".

Menurut Muhammad Khalil, Pas berpegang dengan prinsip tidak akan membuat sebarang andaian sehinggalah seseorang itu benar-benar dibuktikan bersalah.

"Ini prinsip Pas sejak dulu. Kita tak mengira siapa misalnya dalam kes bekas Timbalan Perdana Menteri dulu (Datuk Seri Anwar Ibrahim), kita mengambil prinsip yang sama termasuklah bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

"Prinsip kami jelas, seseorang itu tidak boleh dihukum bersalah sehinggalah dibuktikan bersalah. Kita tak boleh 'hukum' mengikut media sosial hari ini yang rangkaiannya tiada sempadan," katanya.

Awal pagi tadi, Setiausaha Sulit kepada seorang Timbalan Menteri membuat pengakuan mengejutkan apabila bersumpah dia merupakan individu dalam sebuah klip video seks bersama seorang lelaki mirip pemimpin PH.

Tiga video panas tersebut masing-masing berdurasi 1 minit 35 saat dan sebuah rakaman audio berdurasi 5 minit 24 saat tersebar sejak semalam.