Melcat siasat isu pencemaran Sungai Melaka

Iklan
Damian Yeo Shen Li. Foto: Bernama

MELAKA - Jawatankuasa Kompetensi, Akauntabiliti dan Ketelusan Melaka (Melcat) akan menjalankan siasatan terhadap isu pencemaran di Sungai Melaka yang didakwa berulang sejak bertahun-tahun, kata Pengerusinya Damian Yeo Shen Li.

Beliau berkata, siasatan itu akan mengenal pasti punca kejadian itu berlaku dan langkah pencegahan yang perlu dilakukan bagi menambah baik sistem pengurusan sungai yang dikenali di seluruh dunia sebagai antara produk pelancongan negeri ini.

Iklan
Iklan

"Siasatan ini merangkumi semua sistem, ia juga melibatkan siasatan terhadap kerajaan negeri dan pusat termasuk syarikat yang terlibat dengan Sungai Melaka dan kita juga siasat dan hendak tahu sama ada ini terjadi disebabkan isu geografi, iklim atau alam sekitar.

"Siasatan awal sebenarnya lebih daripada itu, tetapi kita masih belum pasti. Siasatan ini juga kita kenal pasti puncanya sama ada ia terjadi kerana pencemaran bahan toksik atau benda lain yang tidak sepatutnya," katanya pada sidang media Melcat di Ayer Keroh di sini hari ini.

Iklan

Pada 20 Mei lepas Bernama melaporkan pencemaran Sungai Melaka yang menyebabkan air bertukar warna menjadi hitam, berbau busuk dan ikan mati dikesan berlaku terutama di Taman Rempah di sini, namun sehari selepas itu kerajaan negeri memaklumkan ia disebabkan air laut tetapi kajian lanjut perlu dilakukan bagi mengenal pasti sebab ia berlaku.

Shen Li berkata, bagi memulakan siasatan itu, Melcat akan mengadakan perjumpaan dan taklimat tertutup bersama pihak-pihak yang terlibat bagi mendapatkan maklumat awal kejadian tersebut sebelum mengadakan pendengaran awam bagi siasatan kes tersebut.

Iklan

"Kita akan panggil pihak profesional dan pakar dalam bidang ini bagi memberikan input serta maklum balas kepada kita. Kita juga mengalu-alukan semua pihak yang ada informasi supaya tampil beri maklumat kepada kita.

"Pada pendengaran awam itu nanti semua pihak boleh tampil untuk beri maklumat dan ikuti perkembangan siasatan lanjut. Kita mahu maklumat mendalam jadi siasatan bukan satu atau dua minggu, mungkin ambil tempoh masa berbulan-bulan," katanya.

Beliau berkata jika didapati kejadian itu disebabkan perbuatan jenayah, Melcat akan menyalurkan maklumat kepada pihak bertanggungjawab seperti Jabatan Alam Sekitar bagi mengambil tindakan mengikut akta terlibat dan keseluruhan hasil siasatan serta cadangan akan dibentang di Dewan Undangan Negeri Melaka.

Sementara itu, beliau berkata Melcat telah menyelesaikan siasatan terhadap isu sistem aduan Kerajaan Negeri Melaka bagi memastikan sistem itu mampu berfungsi dengan lebih baik bagi membantu rakyat.

"Ia akan dijadikan risalat di Dewan Undangan Negeri Melaka dan kita cadangkan adakan satu ‘apps’ (aplikasi) bagi membolehkan rakyat beri maklum balas, kita akan dibawa ke dewan bulan Julai ini dan akan dibahas di dewan nanti," katanya.

Pada 7 Mac lepas, Shen Li dilaporkan sebagai berkata kerajaan negeri menerima kira-kira 600 aduan setiap bulan dan siasatan mendapati terdapat aduan yang tidak diselesaikan pihak berkaitan dengan berkesan sebelum ini sehingga menyebabkan masalah berpanjangan. - Bernama