Perunding perkahwinan nyaris maut cubaan membakar diri

Iklan
Mangsa terbaring tidak sedarkan diri sebaik dikeluarkan orang ramai dari dalam kereta.

BESUT - [DIKEMASKINI] Seorang lelaki melecur sebahagian besar mukanya selepas dikatakan cuba membakar dirinya dalam sebuah kereta di tepi jalan Kampung Tok Has dekat sini tengah hari tadi.

Dalam kejadian jam 12.07 tengah hari itu, perunding perkahwinan yang berusia 37 tahun itu melecur kira-kira 20 peratus di bahagian kepala dan muka.

Iklan
Iklan

Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Mohd Zamri Mohd Rowi berkata, mangsa dipercayai cuba membakar diri sendiri berdasarkan penemuan satu botol plastik air minuman berisi petrol di tempat duduk pemandu kereta jenis Proton Gen 2.

Menurutnya, siasatan awal di tempat kejadian mendapati kereta tersebut dipandu dari arah Jertih ke Kuala Besut.

Iklan

"Terdapat kesan terbakar di kawasan tempat duduk pemandu sahaja iaitu di bumbung kerusi pemandu,” katanya.

Mohd Zamri berkata, sebelum itu pada jam 12.13 tengah hari, pihaknya menerima panggilan daripada orang awam menyatakan berlaku satu kejadian kereta terbakar dan ada seorang lelaki dalam kereta tersebut.

Iklan

Menurutnya, tayar hadapan sebelah kiri kereta tersebut juga didapati pecah sepenuhnya dipercayai mangsa meneruskan perjalanan walaupun dalam keadaan keadaan tayar pancit.

Kata Mohd Zamri, mangsa yang beralamat di Kota Bharu, Kelantan bagaimanapun diselamatkan oleh orang awam yang kebetulan berada di tempat kejadian ketika itu.

"Mangsa yang tidak sedarkan diri di hantar ke Hospital Besut sebelum dirujuk ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) untuk rawatan lanjut,” katanya.

Mohd Zamri berkata, motif mangsa bertindak demikian belum diketahui dan siasatan lanjut punca kejadian masih dijalankan.