Rumah Ngaji Perak umum dua lokasi utama

Iklan
Noor Mazlina Noor Shah

IPOH - [DIKEMASKINI] Rumah Ngaji Perak mengumumkan dua lokasi utama di negeri ini bagi penganjuran World #QuranHour yang akan berlangsung pada 30 Mei nanti.

Penasihat Rumah Ngaji Perak, Noor Mazlina Noor Shah berkata, lokasi pertama program tersebut adalah di Masjid Ubudiah Kuala Kangsar bersama Perbadanan Perpustakaan Negeri Perak manakala satu lagi lokasi adalah di Laman Seri Ridzuan (Kediaman Menteri Besar Perak lama), di Ipoh.

Iklan
Iklan

Katanya, kedua-dua lokasi ini akan menjadi tumpuan pada 30 Mei nanti yang mana dianggarkan lebih 500 orang akan berkumpul di Masjid Ubudiah manakala di Ipoh pula seramai 1,000 akan hadir.

"Di Perak ini istimewa sedikit memandangkan sambutan begitu menggalakkan, dua lokasi kita tetapkan iaitu di Kuala Kangsar dan Ipoh sebagai lokasi utama World #QuranHour.

Iklan

"Kita mengalu-alukan kehadiran seluruh rakyat Perak untuk sama-sama hadir ke mana-mana lokasi ditetapkan itu bagi menghayati pengisian yang disediakan sempena program ini nanti," katanya kepada Sinar Harian, hari ini.

Noor Mazlina berkata, Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria dijadualkan hadir ke Masjid Ubudiah bagi merasmikan program tersebut manakala Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu pula akan berada di Laman Seri Ridzuan.

Iklan

Menurutnya, orang ramai yang berminat untuk hadir digalakkan membawa sendiri al-Quran, namun bagi mereka yang tidak membawa al-Quran turut disediakan untuk rujukan.

Sementara itu katanya, bagi individu yang mempunyai tafsir al-Quran juga digalakkan untuk membawa bersama-sama.

Noor Mazlina berkata, program di Kuala Kangsar akan bermula pada jam 11 pagi manakala di Ipoh akan bermula seawal jam 9.30 pagi kerana program dimulai dengan majlis tadarus al-Quran.

"Selain di dua lokasi utama, semua masjid di negeri ini juga akan turut serta mengadakan World #QuranHour di masjid masing-masing. Begitu juga beberapa Rumah Ngaji di daerah-daerah.

"Setakat ini segala persiapan bagi penganjuran World #QuranHour di dua lokasi utama ini berjalan lancar dan diharap segala perancangan dipermudahkan," katanya.