Hanya kerana garu muka ketika memandu, lelaki didenda

Iklan
Liu didenda gara-gara menggaru muka ketika memandu. - Foto Sina Weibo

SHANDONG - Seorang pemandu dari China didenda selepas imejnya menggaru muka yang dirakam oleh kamera pengawasan trafik berteknologi kecerdasan buatan (AI) membuatkannya kelihatan seperti sedang menggunakan telefon bimbit ketika memandu.

Menurut laporan Jilu Evening Post, dalam kejadian Isnin lalu, pemandu dikenali sebagai Liu itu sedang memandu kenderaannya di bandar Jinan, timur wilayah Shandong apabila dia mengangkat tangan untuk menggaru muka ketika melalui kawasan yang dipasang kamera trafik.

Iklan
Iklan

Tidak lama kemudian, Liu menerima notifikasi mengatakan dia telah melanggar undang-undang jalan raya kerana memandu sambil menggunakan telefon bimbit.

Imej Liu melakukan 'kesalahan' tersebut turut disertakan bersama notifikasi.

Iklan

Ekoran kes itu, dua mata dilaporkan akan ditolak daripada lesen memandunya selain diarah membayar denga berjumlah 50 yuan (RM30).

"Hari ini saya dituduh melanggar undang-undang hanya kerana menggaru muka sendiri," tulis Liu di laman media sosial, Weibo.

Iklan

Liu turut memuat naik gambarnya di laman berkenaan dan memaklumkan akan menemui pihak berkuasa untuk menyelesaikan masalah tersebut.

Sementara itu, akhbar The Global Times melaporkan, pihak berkuasa trafik bandar Jinan telah membatalkan denda tersebut.

Menurut laporan, sistem kamera pengawasan trafik secara automatik mengenal pasti pergerakan pemandu kemudian mengambil gambar, menyebabkan perbuatan Liu menggaru muka kelihatan seperti dia sedang bercakap di telefon.

Terdapat lebih 170 juta kamera pengawasan di China dan negara itu bercadang untuk memasang 400 juta kamera lagi yang dilengkapi teknologi AI menjelang tahun 2020. - BBC