Dicekup ketika khalwat, cuba setubuh luar nikah

Iklan
Haris (tengah) turun padang menyertai operasi JAIS yang dijalankan di bazar Ramadan Seksyen 13, semalam walaupun dalam keadaan hujan lebat.

SHAH ALAM - Seramai 25 pasangan kekasih ditahan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) kerana disyaki berkhalwat, sementara tiga pasangan lagi dicekup ketika cuba melakukan persetubuhan luar nikah di bulan Ramadan.

Pengarah JAIS, Datuk Haris Kasim berkata, penahanan ke atas semua pasangan berusia antara 25 hingga 40 tahun itu dijalankan bahagian pengurusan penguatkuasaan JAIS sejak 6 Mei lalu hingga kelmarin.

Iklan
Iklan

Menurutnya, bagi kes tangkapan khalwat, enam pasangan dicekup di hotel bajet, manakala 19 lagi ditahan dalam serbuan di rumah melibatkan daerah Petaling, Klang, Sepang, Gombak, Hulu Langat dan Hulu Selangor.

"Kita juga menahan tiga lagi pasangan lain mengikut Seksyen 26 iaitu perbuatan sebagai persediaan untuk melakukan persetubuhan luar nikah.

Iklan

"Ini bermakna ketika ditahan ketiga-tiga pasangan ini didapati tidak berpakaian...Mereka ditahan di hotel bajet dan juga rumah urut sekitar Petaling," katanya pada sidang media selepas selesai operasi penguatkuasaan JAIS terhadap aktiviti kutipan derma tanpa kebenaran di bazar Ramadan Seksyen 19 dan Seksyen 13, di sini semalam.

Katanya, kertas siasatan ke atas 25 pasangan yang ditahan akan dibuka sebelum kes dipanjangkan kepada pendakwaan syariah Selangor.

Iklan

"Kita kesal kes khalwat ini masih berlaku dalam bulan Ramadan.. sepatutnya bulan ini dihormati dan tiada maksiat dilakukan," katanya.

Seorang pelajar tahfiz yang ditahan pegawai penguatkuasa JAIS di bazar Ramadan Seksyen 19 kerana mengutip derma tanpa izin. Gambar kanan: Pelajar tahfiz ini membuat kutipan derma tanpa izin di bazar Ramadan Seksyen 19, di sini kononnya untuk beliau menyambung pelajaran ke luar negara.

Sementara itu, Haris memberitahu pihaknya turut menerima 43 aduan berkaitan tidak menghormati bulan Ramadan iaitu makan di khalayak ramai, tiga aduan berkaitan kutipan derma tanpa kebenaran dan dua aduan berkaitan judi.

Beliau berkata, sebanyak 22 tangkapan dibuat ke atas individu yang dicekup tidak berpuasa di 19 kedai tersorok serta di tiga restoran sekitar Petaling.

Menurutnya, JAIS turut mengesan terdapat pesalah-pesalah yang melakukan kesalahan ini secara berulang dan ia merupakan satu perkara yang amat mendukacitakan.

"Selang seminggu kita tahan orang yang sama melakukan kesalahan sama tapi di tempat berlainan," katanya.

Selain itu, Haris berkata, tiga kes yang membabitkan tangkapan kutipan derma tanpa izin juga berjaya dikesan termasuk seorang pelajar tahfiz yang ditahan dalam operasi di bazar Ramadan Seksyen 19, di sini semalam.

"Pelajar ini dilihat memegang kotak tertera tulisan memohon sumbangan derma ikhlas untuk menyambung pelajaran ke luar negara," katanya memberitahu kebanyakan kes tangkapan kutipan derma tanpa izin didalangi sindiket tertentu.

Dalam pada itu, Haris memberitahu, hasil operasi yang dijalankan pihaknya setakat tempoh 18 hari Ramadan menunjukkan berlaku peningkatan kes berbanding tahun lalu.