Peniaga hadapi tuduhan edar dadah

Iklan
Gambar hiasan

JITRA - Seorang peniaga dihadapkan ke mahkamah majistret di sini hari ini atas tuduhan mengedar dadah di Kampung Naga, Kepala Batas dekat sini minggu lepas.

Tertuduh, Mohd Fizal Mohd Marzuki, 47, berasal dari Sungai Petani mengaku faham apabila pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Penolong Pendaftar, Rashidah Azmi.

Iklan
Iklan

Dia dituduh mengedar 405 gram dadah jenis heroin di tepi jalan Kampung Naga bersebelahan Taman Seri Naga kira-kira jam 5 pagi pada 11 Mei lepas.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 yang jika sabit kesalahan boleh dihukum mati atau penjara seumur hidup serta sebatan minimum 15 kali.

Iklan

Mohd Fizal juga menghadapi tuduhan memiliki 6.46 gram dadah jenis methamphetamine pada masa, tempat dan hari yang sama.

Bagi tuduhan itu dia didakwa mengikut Seksyen 12(2) ADB 1952 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 39A(1) akta sama yang jika sabit kesalahan boleh dipenjara maksimum lima tahun serta dikenakan maksimum sembilan sebatan.

Iklan

Tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh dan Rashidah menetapkan 24 Julai ini sebagai tarikh sebutan semula kes.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Natasha Rizal manakala tertuduh diwakili peguam, K Sobini. - Bernama