OBK rekod nilai rampasan cecah RM123 juta sejak 2019

Iklan
Antara rampasan spesies burung dilindungi yang dirampas menerusi OBK. Gambar kecil: Abdul Kadir

KUALA LUMPUR - Operasi Bersepadu Khazanah (OBK) yang dilaksanakan sejak September 2019 merekodkan nilai rampasan mencecah RM123.91 juta.

Ketua Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan), Datuk Abdul Kadir Abu Hashim berkata, statistik sehingga Julai lalu itu hasil daripada 297 kes yang dilaporkan.

Iklan
Iklan

Menurutnya, bagi tempoh itu juga, OBK yang dikuatkuasakan dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dan Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM) berjaya menahan 531 individu atas pelbagai kesalahan.

Khemah haram dipercayai didirikan warga asing untuk memburu hidupan liar.


"OBK turut melibatkan kerjasama Perbadanan Taman Negara Johor (PTNJ), Perbadanan Taman Negeri Perak (PTNP), lain-lain agensi berkaitan serta badan bukan kerajaan (NGO seperti Wildlife Conservation Society Malaysia (WCS), Pertubuhan Pelindung Alam Malaysia (Pelindung), Malaysian Conservation Alliance for Tiger (MyCat), Rimba dan World Wide Fund for Nature (WWF)," katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.

Iklan

Mengulas lanjut, Abdul Kadir berkata, pencapaian OBK pada tahun ini telah mencatatkan 192 kes membabitkan 175 tangkapan dengan nilai sitaan berjumlah RM40.2 juta.

Beliau berkata, sebanyak sembilan siri rondaan hutan telah dijalankan dengan 181 jerat haram berjaya dimusnahkan.

Antara senjata dan peralatan untuk kegiatan pemburuan haram berjaya dirampas menerusi tindakan OBK.

Iklan

"Kita turut mengesan 47 khemah pendatang asing tanpa izin (PATI) yang didirikan di dalam hutan dipercayai untuk aktiviti pemburuan haram.

"Sebanyak 36 pokok karas juga dikesan telah ditebang selain 485 pencerbohan lain dikenal pasti," ujarnya.

Jelasnya, Jabatan Perhilitan di bawah Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (NRECC) mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua yang terlibat dalam OBK dan menyeru semua pihak berganding bahu memperhebatkan usaha dalam membanteras jenayah hidupan liar.