Empat anggota polis ditahan subahat curi kabel

Iklan
Mohamad Fakhrudin menunjukkan kenderaan yang dirampas selepas sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya, di sini pada Selasa.

PETALING JAYA - Sembilan lagi individu ditahan susulan tangkapan empat anggota polis selepas disyaki bersubahat dengan sindiket mencuri kabel telekomunikasi milik Telekom Malaysia (TM).

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, kesemua anggota polis yang bertugas di unit kereta peronda (MPV) itu ditahan pada 19 September lalu.

Iklan
Iklan

"Berdasarkan maklumat, sehari selepas kejadian, kita menahan sembilan individu termasuk seorang lelaki warga asing berusia 20 hingga 40-an secara berasingan di lima lokasi sekitar Lembah Klang.

"Kita mendapati dua batang kabel bawah tanah sepanjang kira-kira 40 meter telah dipotong dan dicuri, dengan anggaran kerugian mencecah RM100,000," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya, di sini pada Selasa.

Iklan

Beliau berkata, pihaknya merampas dua MPV, sebuah kereta jenis BMW, sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Ford Ranger, sebuah kereta Honda Civic dan sebuah lori yang digunakan untuk aktiviti terbabit.

"Kita turut merampas 11 telefon bimbit, satu guni yang mengandungi pelbagai wayar tembaga yang telah di bakar, sebuah buku hasil jual beli dan dua keping resit," katanya.

Iklan

Mohamad Fakhrudin berkata, semakan mendapati lapan individu yang ditahan mempunyai rekod jenayah dan kes dadah.

"Suspek turut mengaku terlibat dua kes kejadian kecurian kabel TM di daerah Petaling Jaya, kesemua suspek ditahan reman sehingga semalam.

"Kita turut mengesan dua suspek lagi bagi membantu siasatan, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kes itu boleh menghubungi Bilik Gerakan IPD Petaling Jaya di talian 03-79662222," katanya.