Pasangan kekasih lari sekatan polis sebab bawa syabu

Iklan
Kenderaan dinaiki empat suspek yang melarikan diri daripada sekatan jalan raya di Jalan Persiaran Apec, di sini pada Isnin.

SEPANG - Tindakan empat individu termasuk pasangan kekasih warga asing cuba meloloskan diri dengan memecut laju kereta semasa sekatan jalan raya di Jalan Persiaran Apec, di sini pada Isnin membongkar penemuan dadah.

Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Wan Kamarul Azran Wan Yusof berkata, kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Vellfire itu didapati dalam keadaan mencurigakan sebelum ditahan di lokasi kejadian kira-kira jam 11.30 malam.

Iklan
Iklan

"Anggota polis kemudian meminta pemandu kenderaan tersebut mengemukakan dokumen pengenalan diri dan lesen memandu namun tidak diendahkan sebelum memecut melarikan diri.

"Kereta peronda polis kemudiannya mengejar kenderaan tersebut melalui Lebuhraya Putrajaya sehingga susur keluar Plaza Tol Serenia, Dengkil dan merempuh palang tol di lokasi," katanya menerusi kenyataan pada Selasa.

Iklan

Beliau berkata, kenderaan tersebut melalui Jalan Dengkil-Banting sebelum merempuh satu lagi sekatan jalan raya.

"Dua suspek yang merupakan pasangan kekasih warga asing berumur 32 dan 21 tahun ditahan manakala dua lagi suspek berjaya meloloskan diri," katanya.

Iklan

Menurutnya, pemeriksaan dijalankan menemui dua bungkusan plastik lutsinar berisi dadah dipercayai syabu dengan anggaran berat 103.61 gram.

"Selain itu, kedua-dua suspek didapati hanya memiliki salinan pasport dan tiada dokumen perjalanan yang sah.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 186/279 Kanun Keseksaan dan Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.