Kontinjen Malaysia diberi sambutan tradisional di Hangzhou

Iklan
Kontinjen Malaysia ketika hadir pada Majlis Sambutan Ketibaan Kontinjen untuk Sukan Asia 2022 di Hangzhou pada Jumaat - Foto Bernama

KONTINJEN Malaysia pada Jumaat diraikan dalam upacara khas, Majlis Sambutan Ketibaan Kontinjen di Perkampungan Atlet di sini menjelang Sukan Asia Hangzhou 2022 yang dijadual membuka tirai secara rasmi pada Sabtu.

Dalam majlis itu, delegasi Malaysia diketuai Ketua Kontinjen (CDM), Datuk Chong Kim Fatt bersama dua timbalannya, Datuk Mohamad Iruan Zulkefli dan Profesor Madya Dr Farrah Hani Imran serta pasukan e-sukan dan ahli sekretariat daripada Majlis Olimpik Malaysia (MOM).

Iklan
Iklan

Hujan renyai-renyai tidak menghalang tumpuan peserta kepada fokus utama acara itu yang menampilkan persembahan kebudayaan Cina seperti tarian singa, gendang, wushu dan tarian tradisional Hangzhou.

Ia diikuti ucapan alu-aluan daripada Datuk Bandar Perkampungan Sukan Asia Hangzhou, Lu Chunqiang.

Iklan

Majlis itu turut menyaksikan Jalur Gemilang berkibar megah ketika lagu Negaraku dimainkan.

Turut menyertai kontinjen Malaysia pada majlis sambutan itu ialah Macau, Arab Saudi, Timor Leste, Turkmenistan dan Vietnam.

Iklan

"Upacara ini (juga) betul-betul menterjemahkan slogan rasmi Heart to Heart, @Future," kata Kim Fatt ketika ditemui pemberita selepas upacara itu.

Sementara itu, jurulatih kebangsaan skuad League of Legends (LOL) Eric Sze Pin Sia berkata:"Saya sangat gembira melihat banyak negara 'bersatu' di sini dan saya sebenarnya sangat teruja dengan cara mereka (tuan rumah) menguruskan segala-galanya untuk Sukan Asia".

Sukan Asia ke-19 bakal menjadi tuan rumah kepada kira-kira 12,000 atlet dari 45 negara yang akan menyertai 481 acara daripada 40 sukan.

Malaysia diwakili 289 atlet yang akan bersaing dalam 22 sukan dengan menyasarkan 27 pingat. - Bernama