Operasi mencari nelayan hilang di Kuala Pahang ditamatkan

Iklan
Berita kehilangan mangsa yang disiarkan Sinar Harian pada Ahad lalu.

KUANTAN - Operasi mencari dan menyelamat (Carilamat) nelayan warga emas, Mohamed Romlan Abdul Rani, 66, yang hilang ketika menangkap ikan di perairan Kuala Pahang, Pekan Sabtu lalu ditamatkan pada Khamis selepas tiada sebarang petunjuk baharu ditemui.

Pengarah Maritim Negeri Pahang, Laksamana Pertama Maritim Kamal Ariffin Jusoh berkata, carilamat ditamatkan jam 7 petang setelah pencarian dijalankan selama enam hari melibatkan kawasan pencarian seluas 1101.62 batu nautika persegi.

Iklan
Iklan

Menurutnya, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) akan terus melaksanakan pemantauan berterusan melalui rondaan rutin operasi di lapangan dan pemakluman lanjut akan dibuat sekiranya terdapat petanda baharu.

"Operasi carilamat ditamatkan mengambil kira penilaian terhadap situasi semasa pencarian dan persetujuan bersama semua agensi terlibat serta ahli keluarga mangsa," katanya melalui kenyataan pada Jumaat.

Iklan
Anggota Maritim Malaysia ketika melakukan pencarian mangsa yang hilang di perairan Kuala Pahang.

Dalam kejadian Sabtu lalu, mangsa dilaporkan keluar ke laut seorang diri menaiki bot fiber kira-kira jam 5 pagi dan sepatutnya pulang ke jeti jam 11 pagi hari yang sama.

Bagaimanapun mangsa didapati tidak kembali dan kehilangannya dilaporkan sebelum operasi carilamat digerakkan.

Iklan

Kamal Ariffin berkata, pihaknya menyeru komuniti maritim yang menjalankan sebarang aktiviti di laut agar sentiasa menitikberatkan aspek keselamatan dengan memakai jaket keselamatan dan menggunakan peranti suar pengesan peribadi (PLB).

"Sebarang aduan dan kejadian kecemasan di laut boleh terus menghubungi Pusat Operasi Maritim Negeri Pahang di talian 09-5717345 atau melalui talian bantuan kecemasan MERS 999," ujarnya.