Lian Ker gesa DAP bertaubat, minta maaf dengan MCA

Iklan
Ti Lian Ker

SHAH ALAM – DAP digesa ‘bertaubat’ agar parti itu dilihat bersih dan dipercayai selain perlu meminta maaf kerana pernah melabelkan MCA sebagai ‘anjing suruhan’ UMNO sebelum ini.

Naib Presiden MCA, Datuk Seri Ti Lian Ker berkata, ketika ini DAP berlagak seperti mangsa kerana mendakwa terasa terhina apabila mereka diberi panggilan serupa oleh Presiden Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Iklan
Iklan

"Dalam meminta Syed Saddiq menarik balik kenyataannya, DAP patut bertaubat terlebih dahulu dengan meminta maaf kepada MCA atas penghinaan yang dilakukan selama bertahun-tahun sebagai teladan kepada Syed Saddiq," katanya menerusi satu kenyataan di Facebook.

Jumaat lalu, Ahli Parlimen Bangi, Syahredzan Johan meluahkan rasa kesal dengan tindakan Syed Saddiq menggelarkan DAP sebagai ‘anjing suruhan’ Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Iklan

Sebelum itu, bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin turut memberi gelaran yang serupa terhadap DAP apabila mengkritik parti berkenaan.

Syed Saddiq dan Khairy membuat kenyataan tersebut selepas pihak pendakwaan memohon melepas tanpa membebaskan (DNAA) Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi daripada 47 tuduhan rasuah, pecah amanah dan pengubahan wang haram membabitkan Yayasan Akalbudi di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, 4 September lalu.

Iklan

Mengulas lanjut, Lian Ker menegaskan, penghinaan yang dilakukan DAP terhadap MCA sudah lama berlaku iaitu sejak era Perdana Menteri pertama, Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj.

Menurutnya, ketika ini DAP membuat pusingan U dengan menyokong Ahmad Zahid yang mereka pernah label dengan pelbagai gelaran buruk seperti ‘Indon’ dan kleptokrat.

"Serangan mereka dialihkan pula kepada Tan Sri Hadi Awang dan Pas sebagaimana serangan yang dibuat terhadap UMNO sebelumnya," ujarnya.