Bilangan penganggur menurun pada Julai - DOSM

Iklan
Bilangan penganggur pada Julai menurun sebanyak 0.4 peratus kepada 579,200 orang berbanding 581,700 orang pada bulan lepas. - Gambar hiasan 123rf

PUTRAJAYA - Bilangan penganggur pada Julai menurun sebanyak 0.4 peratus kepada 579,200 orang berbanding 581,700 orang pada bulan lepas, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin dalam kenyataan susulan Perangkaan Tenaga Buruh Malaysia, Julai 2023 dikeluarkan pada Jumaat berkata, kadar pengangguran pada Julai itu kekal 3.4 peratus seperti bulan sebelumnya.

Iklan
Iklan

Beliau berkata, bilangan penduduk bekerja pada Julai pula merekodkan peningkatan sebanyak 0.2 peratus iaitu 16.34 juta orang berbanding 16.31 juta pada Jun.

"Kadar penyertaan tenaga buruh pada bulan itu meningkat 0.1 peratus menjadi 70.1 peratus (Jun 2023: 70.0 peratus)," katanya.

Iklan

Berdasarkan sektor ekonomi, Mohd Uzir berkata, peningkatan bilangan penduduk bekerja terus meningkat dalam sektor perkhidmatan terutamanya dalam aktiviti perkhidmatan makanan dan minuman, perdagangan borong dan runcit, dan pendidikan.

"Begitu juga, bilangan penduduk bekerja dalam sektor pembinaan serta perlombongan dan pengkuarian kekal dalam trend positif, manakala sektor pembuatan dan pertanian mencatatkan penurunan sedikit pada bulan itu," katanya.

Iklan

Beliau berkata, bilangan penduduk di luar tenaga buruh pada Julai 2023 mencatatkan penurunan sebanyak 0.01 peratus kepada 7.23 juta orang.

Mengulas berkenaan statistik itu, Mohd Uzir berkata, kedudukan tenaga buruh negara dijangka kekal positif dan berkembang secara sederhana pada bulan akan datang memandangkan prospek ekonomi Malaysia jangka pendek dijangka sederhana pada bulan-bulan seterusnya.

"Ia selaras dengan jangkaan perniagaan positif bagi suku ketiga 2023, yang disokong oleh kestabilan pasaran pekerjaan, peningkatan dalam pelancongan domestik dan prospek yang lebih optimistik dalam industri pelancongan kesihatan," katanya. - Bernama