SHAH ALAM - Sekolah Kebangsaan (SK) Bangi dinobatkan juara pertandingan Bicara Berirama di Karnival Pendidikan Sinar Bestari, pada Jumaat.
Gurunya, Salwana Elias, 48, berkata, kemenangan itu merupakan satu pencapaian yang baik sekali gus meningkatkan lagi semangat dan keyakinan murid untuk menyertai lebih banyak pertandingan seperti ini pada masa hadapan.
"Seramai 26 peserta lingkungan 11 dan 12 tahun dilatih selama tiga bulan dan alhamdulillah, ia membuahkan hasil.
"Terima kasih di atas kerjasama ibu bapa, sekolah serta rakan-rakan sekerja. Komitmen anak-anak yang bertungkus lumus, berdisiplin dan patuh kepada arahan akhirnya berjaya meraih tempat pertama," katanya selepas majlis penyampaian hadiah di pentas utama, Dataran Karangkraf di sini.
Kemenangan itu membolehkan mereka membawa pulang trofi dan hamper.
Tambah Salwana, pertandingan itu bagus kerana dapat mencungkil bakat dari segi sahsiah, bahasa selain memberi keyakinan kepada peserta terlibat.
"Pertandingan ini juga merupakan bonus kepada markah penilaian aktiviti jasmani dan kesihatan mereka," katanya.
Sementara itu, tempat kedua dan ketiga masing-masing dimenangi oleh SK Taman Nusa Perintis 1, Johor dan SK Tentera Udara Diraja Malaysia Subang.
Tempat keempat dan kelima pula masing-masing dimenangi SK Bandar Baru Selayang serta SK Teluk Gadong.
Guru SK Taman Nusa Perintis 1, Dahliawati Johari, 44, berkata, perjalanan sejauh lebih 300 kilometer dianggap berbaloi kerana berjaya meraih salah satu tempat utama.
"Kami bergerak seawal 7 pagi pada Khamis dari Johor Bahru dengan menaiki bas dan sanggup menyewa homestay di sekitar Shah Alam kerana semangat bagi menyertai pertandingan hari ini.
"Kemenangan ini sekali gus membuktikan usaha latihan selama tiga minggu pelajar dan guru tidak sia-sia," ujarnya.
Menurut Eksekutif Pemasaran Sinar Karangkraf, Nur Haziqah Aini Rosli, sebanyak 10 sekolah menyertai pertandingan Bicara Berirama itu.
Beliau berkata, pemilihan pemenang adalah berdasarkan beberapa faktor.
"Antaranya, ujaran persembahan, keseragaman persembahan, tempo atau kesan bunyi, bahasa, penghayatan dan kreativiti.
"Jadi, dari sudut pemerhatian juri, SK Bangi dilihat menepati dan selain menerima markah tinggi bagi ciri-ciri tersebut," katanya.
Karnival Pendidikan Sinar Bestari membuka tirai bermula hari ini dengan pelbagai acara menarik seawal jam 8.30 pagi hingga 7 malam nanti.
Penganjuran karnival selama tiga hari dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri Selangor (JPNS) itu menghimpunkan 100 pempamer dan lebih 50 aktiviti disediakan kepada pengunjung di Dataran Karangkraf, Seksyen 15 di sini, sehingga Ahad ini.