Warga emas ditemui lemas selepas cuba selamatkan dua rakan

Iklan
Mangsa dipercayai cuba membantu rakannya, namun arus air yang kuat menyebabkan dia dihanyutkan manakala dua rakannya berjaya diselamatkan orang kampung. - Gambar hiasan

ALOR GAJAH - Seorang warga emas ditemui lemas, selepas hilang dibawa arus semasa cuba menyelamatkan dua rakannya yang hampir lemas di Pantai Cermin, Kuala Sungai Baru dekat sini pada Ahad.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintenden Arshad Abu berkata, mayat Haudi Sujai, 63, ditemukan kira-kira jam 3 petang tadi, terapung tidak jauh dari lokasi dia dikatakan hilang.

Iklan
Iklan

Beliau berkata, kejadian bermula sekitar jam 11 pagi semasa Haudi bersama dua rakannya sedang memancing sekitar Pantai Pulau Masjid apabila air mulai pasang dan dua rakannya itu hampir lemas apabila dibawa arus deras.

"Warga emas itu dipercayai cuba membantu (rakan), namun arus air yang kuat menyebabkan lelaki itu terus dihanyutkan manakala dua rakannya berjaya diselamatkan orang kampung," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Iklan

Arshad berkata, Haudi bersama tujuh lagi rakannya dari Balakong, Selangor datang ke Pantai Cermin sejak jam 10 pagi Sabtu untuk memancing di kawasan berkenaan.

"Warga emas itu dibawa ke pantai dan disahkan meninggal dunia oleh Pegawai Perubatan Hospital Port Dickson, Negeri Sembilan sebelum dirujuk ke Hospital Alor Gajah untuk bedah siasat," katanya. - Bernama

Iklan