Tempoh sah laku sijil kursus kahwin masih di peringkat cadangan - Jakim

Iklan

SHAH ALAM - Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) tampil menjelaskan laporan berkaitan tempoh sah laku Sijil Kursus Pra Perkahwinan Islam selama 10 tahun bermula Oktober depan sebenarnya masih di peringkat cadangan dan pertimbangan untuk dilaksanakan.

Jakim dalam satu kenyataan berkata, perkara tersebut telah dibincangkan oleh pihaknya bersama Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN) dan dibangkitkan bagi memastikan pelaksanaan Modul Kursus Pra Perkahwinan Islam yang lebih relevan serta berkesan kepada bakal pengantin.

Iklan
Iklan

"Jakim akan mengeluarkan kenyataan rasmi berhubung perkara ini apabila ia dimuktamadkan bersama pihak berkuasa agama negeri kelak,” katanya pada Jumaat.

Media pada Rabu melaporkan, Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi), Datuk Mohd Ajib Ismail berkata, tempoh sah laku sijil Kursus Pra Perkahwinan Berasaskan Modul Bersepadu Kursus Pra Perkahwinan Islam (MBPKI) bagi tujuan permohonan kebenaran berkahwin jabatan agama itu tidak melebihi tempoh 10 tahun.

Iklan
Iklan

Jelasnya, Ia bagi pemohon berstatus teruna atau dara sebagaimana diputuskan dalam Mesyuarat Persidangan Ketua Pendaftar Perkahwinan, Perceraian dan Rujuk Orang Islam (KPNCR) Seluruh Malaysia Kali Ke-2/2023 pada 22 Februari lalu.