Tujuh ditahan bantu siasatan kes kematian warga Myanmar

Iklan
Tujuh lelaki ditahan bagi membantu siasatan kes pukul hingga menyebabkan kematian seorang pekerja kebun durian warga Myanmar di Sungai Chalit, Sungai Ruan, di sini Selasa lalu. - Gambar hiasan

RAUB - Tujuh lelaki ditahan bagi membantu siasatan kes pukul hingga menyebabkan kematian seorang pekerja kebun durian warga Myanmar di Sungai Chalit, Sungai Ruan, di sini Selasa lalu.

Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman berkata, semua suspek warga tempatan berusia 22 hingga 42 tahun ditahan di sekitar Sungai Ruan dan bandar Raub pada Khamis.

Iklan
Iklan

Menurutnya, suspek kini direman tujuh hari sehingga 31 Ogos depan untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

"Kejadian menimpa mangsa berusia dalam lingkungan 20-an itu dilaporkan seorang lelaki senegara yang juga wakil Pertubuhan Etnik Myanmar (MEO) kira-kira jam 6.48 petang pada Rabu.

Iklan

"Susulan kejadian, mangsa dihantar ke Hospital Raub untuk menerima rawatan sebelum disahkan meninggal dunia pada malam hari yang sama," katanya.

Yahaya berkata, bertindak atas maklumat, sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Raub bersama Cawangan Siasatan Jenayah Berat Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang menjalankan siasatan dan risikan sebelum berjaya menahan suspek terlibat.

Iklan

"Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kes itu diminta menghubungi bilik gerakan IPD Raub di talian 09-3552222 atau mana-mana balai polis terdekat bagi membantu siasatan," katanya.