RTG: Zii Jia satu-satunya atlet tidak guna kepakaran ISN

Iklan
Lee Zii Jia

PEMAIN perseorangan lelaki profesional negara, Lee Zii Jia muncul satu-satunya atlet dalam program 'Road To Gold' (RTG) yang belum menagih bantuan khidmat sokongan daripada Institut Sukan Negara (ISN).

Ketua Pegawai Eksekutif ISN, Ahmad Faedzal Md Ramli berkata, ini kerana Zii Jia mempunyai pasukan sokongan sendiri yang membantunya dalam mana-mana kejohanan disertai.

Iklan
Iklan

"Kita sentiasa tawarkan (khidmat sokongan), cuma beritahu dan kita akan aturkan,” katanya kepada pemberita selepas majlis"ISN Inspire 2023” dirasmikan Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh di sini hari ini.

Ahmad Faedzal berkata, mereka sememangnya berhubung dengan Pengarah Kejurulatihan Team LZJ Wong Tat Meng sekiranya terdapat keperluan bagi pihak pemain nombor 13 dunia itu mendapatkan bantuan sokongan ISN.

Iklan

Beliau berkata, setakat ini, kesemua wakil profesional lain yang tersenarai dalam program RTG terdiri daripada beregu lelaki Ong Yew Sin-Teo Ee Yi serta dua lagi beregu campuran Goh Soon Huat-Shevon Lai Jemie dan Tan Kian Meng-Lai Pei Jing menikmati bantuan dihulurkan ISN.

RTG merupakan program dilaksanakan bagi memburu emas sulung negara dalam Sukan Olimpik 2024 di Paris.

Iklan

ISN menawarkan khidmat sokongan seperti penganalisis prestasi, ahli fisioterapi dan tukang urut sukan kepada mana-mana atlet badminton termasuk di bawah Program Podium.

Ahmad Faedzal berkata, 13 pegawai sokongan ISN didedikasikan di bawah program RTG, manakala 80 lagi pegawai berkhidmat bagi Program Podium.

Bagaimanapun, beliau berkata, jumlah pegawai terlibat bagi kedua-dua program tersebut mungkin berubah bergantung kepada keperluan atlet.

Menurutnya, sebarang perubahan juga akan dibuat dengan melaksanakan analisis bersama jurulatih, pegawai ISN dan atlet sendiri mengenai keperluan yang diminta. - Bernama