‘Azmin berjaya raih simpati pengundi’ - KJ

Iklan
Khairy Jamaluddin

SHAH ALAM - Bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berpendapat bekas Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Azmin Ali berjaya mengubah sentimen pengundi apabila tidak membalas sebarang serangan daripada mana-mana pihak sehingga berjaya meraih kemenangan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Selangor pada Sabtu.

Menurutnya, walaupun Azmin dilabel sebagai pengkhianat, namun PRN kali ini memberi kejutan apabila undi masyarakat Melayu mula beralih kepada Perikatan Nasional (PN).

Iklan
Iklan

Jelasnya, sentimen yang dimainkan oleh penyokong Pakatan Harapan (PH) dilihat memberi kelebihan kepada calon PN meraih undi dalam kalangan masyarakat Melayu.

"Orang Melayu ini kalau dia tertekan dia boleh bertukar kepada watak tragis yang mendapat simpati orang lain,” katanya menerusi program podcast Keluar Sekejap bertajuk ‘post-match analysis’ sempena PRN 2023 bersama bekas Ketua Penerangan UMNO, Shahril Sufian Hamdan dan bekas Ahli Parlimen Bangi, Dr Ong Kian Ming pada Isnin.

Iklan

Pada Sabtu, Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali menang di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Hulu Kelang dalam PRN enam negeri.

Ketua Penerangan PN itu meraih majoriti 1,671 undi selepas mendapat 25,597 undi sekali gus menewaskan pencabarnya Juwairiya Zulkifli dengan 23,980 undi.

Iklan

Dalam pada itu, Khairy berkata, dengan rekod Azmin yang pernah memegang pelbagai jawatan penting dalam pentadbiran kerajaan tidak mustahil Selangor bakal menjadi ‘medan pertempuran’ yang baik bagi memastikan semak dan imbang itu berlaku secara adil.

Ujarnya, Pakatan Harapan (PH) perlu memainkan peranan penting bagi memastikan kedudukan mereka dapat dipertahankan.

"Selangor akan jadi medan pertempuran yang menarik walaupun orang nampak PN macam tidak ada kuasa, tetapi boleh menjadi pembangkang yang berwibawa,” jelasnya.